X

Kindly register in order to view this article
!

Jawatankuasa darurat: Wakil pembangkang diharap profesional

Wan Saiful
A
A

SHAH ALAM – Wakil pembangkang yang dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 diharap dapat melaksanakan tanggungjawab dengan profesional dan tidak sesekali melibatkan kepentingan politik.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana pada 21 Januari lalu, pembangkang awal-awal lagi mengatakan walaupun mereka menghantar wakil tetapi mereka kekal dengan pandangan mahu darurat ditamatkan.

“Semoga dengan pengumuman ini wakil-wakil pembangkang akan menjadi lebih profesional.

“Jangan pula sebelum dapat pembentangan data dan maklumat sudah ada keputusan yang hanya berpandukan nafsu politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seramai 19 ahli jawatankuasa dilantik dan ia diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

Tambah Wan Saiful, bilangan ahli Parlimen daripada kerajaan hanya sebahagian kecil dan majoriti yang dilantik adalah tokoh profesional.

Beliau berkata, pembentukan jawatankuasa itu juga melambangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serius dalam memastikan nasihat yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong adalah tepat dan dipandu oleh data.

“Melihat nama-nama yang diumumkan, saya yakin jawatankuasa ini akan dapat membuat pertimbangan terbaik untuk menentukan sama ada darurat perlu diteruskan atau boleh ditamatkan lebih awal.

“Semua nama-nama yang diumumkan adalah mereka yang berkaliber dan berintegriti,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 19 dilantik anggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!