PdPR: Tiga PPR DUN Paroi bakal terima Pusat Internet Harapan Rakyat

Mohamad Taufek melihat murid tahun lima mengikuti sesi PdPR di Masjid Kariah Taman Bandar Senawang.
Mohamad Taufek melihat murid tahun lima mengikuti sesi PdPR di Masjid Kariah Taman Bandar Senawang.
A
A
A

SEREMBAN - Tiga buah Pusat Internet Harapan Rakyat akan diwujudkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi sebagai alternatif membantu pelajar kurang berkemampuan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, kemudahan tersebut disediakan di kawasan perumahan berkenaan kerana penghuninya terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan kategori B40.

"Di PPR Seri Perdana Paroi, kita naik taraf kemudahan Pusat Internet Rakyat yang sedia ada dengan menyediakan Internet berkelajuan tinggi

"Di PPR Taman Jasmin pula kita akan ubah pusat bacaan di situ menjadi Pusat Internet Harapan Rakyat bagi memudahkan anak-anak mengikuti PdPR," katanya kepada Sinar Harian ketika turun padang meninjau pelajar menggunakan kemudahan WiFi di Masjid Kariah Taman Bandar Senawang di sini, pada Selasa.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan internet di PPR Senawang berkemungkinan akan disediakan di balai raya kerana beliau dimaklumkan Pusat Internet Harapan Rakyat di kawasan berkenaan telah diserahkan kepada pihak swasta.

Justeru, katanya, beliau akan mengenal pasti punca masalah berkenaan.

"Saya pun tak tahu apa isunya tapi kita akan semak," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kariah Taman Bandar Senawang, Hosnan Selamat berkata, kemudahan WiFi disediakan dengan kerjasama TM Negeri Sembilan.

"Kita memahami kesukaran sebahagian ibu bapa yang tak mampu untuk sediakan kemudahan Internet kepada anak-anak mereka. Dengan kemudahan WiFi disediakan ini diharap ia dapat meringankan beban ibu bapa.

"Kemudahan ini disediakan pada setiap hari bermula jam 9.30 pagi sehingga 6 petang," katanya.

Tambah beliau, pelajar juga perlu memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan akan dipantau oleh jawatankuasa masjid yang bertugas.

Artikel Berkaitan: