Kepimpinan melalui teladan

ABMS mampu membendung ketirisan dan memberi kesan positif kepada sistem tadbir urus dan kewangan syarikat.
ABMS mampu membendung ketirisan dan memberi kesan positif kepada sistem tadbir urus dan kewangan syarikat.
A
A
A

SLOGAN ‘kepimpinan melalui teladan’ inilah yang cuba ditonjolkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dan bukan sekadar bercakap kosong.

Ungkapan ini terbukti apabila IIM baru-baru ini telah mendapat dua penganugerahan pensijilan iaitu MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) dan MS ISO 9001: 2015 2015 Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) yang diterima serentak pada 10 Januari 2021.

Anugerah itu daripada badan pensijilan utama negara dan global iaitu SIRIM QAS International Sdn Bhd dan The International Certification Network IQNet, badan peneraju utama di Malaysia dan antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan pensijilan, pemeriksaan dan pengujian.

Skop pensijilan yang dilaksanakan adalah mencakupi Sistem Pengurusan Antirasuah dan Sistem Pengurusan Kualiti yang merangkumi latihan dan konsultasi berkaitan integriti, governans dan antirasuah.

Bukan itu sahaja, seiring dengan dua pensijilan ini, IIM juga telah menyempurnakan pembangunan dan penggubalan Pelan Antirasuah IIM pada Disember 2020. Tiga pencapaian yang sangat signifikan ini jelas menggambarkan bahawa IIM sentiasa optimis memberikan contoh terbaik kepada agensi-agensi kerajaan mahupun swasta di luar sana.

Pencapaian ini sudah pasti akan memperkukuhkan lagi tahap kredibiliti dan reputasi IIM sebagai badan operasi yang bertanggungjawab membangunkan kapasiti dan kompetensi untuk sektor awam dan swasta dalam aspek integriti, governans dan antirasuah.

Pensijilan ini juga mencerminkan bahawa IIM adalah role model kepada penyedia perkhidmatan konsultasi dan latihan yang benar-benar mempraktikkan dan mengaplikasikan standard sistem pengurusan dalaman seperti yang disyorkan kepada pelanggan.

Ironinya, pencapaian ini adalah satu permulaan dan bukanlah satu tiket untuk IIM berasa selesa dan mendabik dada kerana apa yang lebih penting adalah pelaksanaan polisi dan prosedur operasi standard (SOP) yang berterusan dan akan melahirkan sebuah organisasi yang utuh dari segi pengurusan tadbir urus dalamannya dalam usaha menutup ruang dan peluang berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan jenayah rasuah.

Artikel Berkaitan:

Tidak dinafikan masih ada segelintir pihak yang menyuarakan rasa skeptikal mengenai tahap keberkesanan pelaksanaan ABMS, namun ia sedikit pun tidak menggugat keyakinan IIM mengenai sistem ini, malah ia telah pun dilaksanakan.

Jangan dipersoalkan keberkesanannya jikalau sistem ini masih belum dilaksanakan di agensi masing-masing, bak kata pepatah ‘belum cuba belum tahu’.Dari segi persediaan pelaksanaan bagi pensijilan ABMS, ia mempunyai lima fasa ketat yang harus dilalui.

Fasa pertama: Analisa keperluan di mana mengenal pasti struktur perniagaan dan jurang analisa.

Fasa kedua: Interpretasi. fasa ini memperkenalkan dan melihat keseluruhan tentang ABMS dan perancangan polisi organisasi.

Fasa ketiga: Reka bentuk sistem iaitu melaksanakan penilaian risiko dan pembangunan dokumentasi ABMS.

Fasa keempat: Pelaksanaan sistem, semakan dan pemurnian dokumentasi ABMS.

Fasa kelima: Verifikasi sistem, latihan audit dalam dan pelaksanaan audit lapangan serta kajian semua pengurusan.

Pensijilan ini diiktiraf di peringkat antarabangsa dan semestinya menuntut komitmen dan kesungguhan daripada semua pihak. Ia bukanlah sesuatu yang boleh diperoleh dalam masa sehari dua dan boleh dibeli dengan wang ringgit.

Bagi IIM sendiri, gerak kerja pensijilan ini mengambil masa lebih kurang enam bulan, bermula sejak Julai tahun lalu di mana melibatkan kerjasama seluruh warga IIM.

Tidak dinafikan proses pensijilan ini bukanlah satu proses semudah ABC, pelbagai cabaran dan kekangan perlu diharungi tetapi keberhasilan yang disasarkan amatlah berbaloi.

Pun begitu, tempoh masa yang dicadangkan ini bukanlah satu tempoh yang tetap, masih ada ruang untuk fleksibiliti pelaksanaan mengikut kesesuaian.

Ada juga yang mengatakan kos pelaksanaan bagi mendapatkan pensijilan ABMS ini tinggi, namun hakikatnya ia tidaklah semahal yang disangka kalau hendak dibandingkan dengan nilai yang diperoleh.

Dengan adanya pelaksanaan sistem ABMS ini, maka potensi-potensi berlakunya rasuah dapat dikurangkan atau terus ditutup. Ini secara tidak langsung dapat membendung ketirisan, sekali gus memberi kesan positif kepada sistem tadbir urus dan kewangan syarikat.

Bagi syarikat-syarikat perniagaan pula, pensijilan ini akan memberikan nilai tambah dan meningkatkan keyakinan pelanggan dan pelabur sedia ada serta menarik minat pelanggan atau pelabur yang baharu. Pastinya ia adalah satu pelaburan yang amat berbaloi! Boleh dikatakan setiap hari pelbagai paparan berita berkaitan jenayah rasuah di negara kita terpampang di dada akhbar dan di media sosial yang melibatkan pelbagai pihak dan agensi.

Lihat sahaja statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Terdapat sebanyak 43,699 aduan diterima dari tahun 2015 sehingga 2020 dan apabila diteliti tiada sebarang penurunan signifikan direkodkan sepanjang tempoh tersebut.

Pendekatan

Seribu satu cadangan, pandangan dan kenyataan yang diberikan oleh pelbagai pihak berkaitan cara-cara menangani rasuah dan salah guna kuasa, namun persoalannya adakah kenyataan-kenyataan, artikel serta kempen-kempen kesedaran bebas rasuah ini benar-benar memberi impak yang besar? Kini sudah tiba masanya semua agensi daripada sektor kerajaan mahupun swasta mengambil pendekatan yang lebih strategik, sistematik dan holistik dalam usaha membanteras jenayah rasuah di organisasi masing-masing.

Apa yang lebih penting ialah pelan tindakan. Semua yang diperlukan telah tersedia dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) sebagai rujukan, tetapi jika tiada tindakan diambil, maka tiada apa yang akan berubah.

Agensi kerajaan dan swasta buat masa sekarang sudah boleh mengorak langkah seterusnya dalam proses pembangunan dan penggubalan OACP dan seterusnya mencadangkan pelaksanaan ABMS.

Jadikan OACP dan pensijilan ABMS sebagai salah satu daripada sasaran KPI organisasi bagi tahun ini. Isu rasuah bukan lagi isu individu yang boleh diselesaikan dengan mudah tetapi perlu ditangani secara kolektif dan sistematik.

Memang benar tahun 2021 bermula dengan pelbagai cabaran dan dugaan, tetapi jangan jadikan ia sebagai satu alasan untuk kita mengalah dan tak mahu berubah.

Jangan sesekali berputus asa, teruskan mengorak langkah ke hadapan demi mencapai lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan. Masih banyak yang perlu diselesaikan.

Seperti yang telah dinyatakan, IIM telahpun menyempurnakan OACP dan melaksanakan ABMS nya sendiri. Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab membangunkan kompetensi dan kapasiti di kedua-dua sektor awam dan swasta dalam aspek governans, integriti dan antirasuah, IIM bertanggungjawab mempamerkan prinsip ‘kepimpinan melalui teladan’ dan tidak mahu dilabel sebagai cakap tak serupa bikin!

* Tan Sri Mohd Zuki Ali ialah Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi Institut Integriti Malaysia