PN perkenal pra slogan 'Selangor Baharu' hadapi PRN

PN memperkenalkan pra slogan 'Selangor Baharu' sebagai tawaran kepada rakyat bagi menghadapi PRN. - Gambar kecil: Roslan Shahir
PN memperkenalkan pra slogan 'Selangor Baharu' sebagai tawaran kepada rakyat bagi menghadapi PRN. - Gambar kecil: Roslan Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Selangor memperkenalkan pra slogan 'Selangor Baharu' sebagai tawaran kepada rakyat di negeri ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, perkara itu telah dibincangkan parti itu dengan rakan komponennya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kita ada dua atau tiga slogan yang lebih kurang sama, tetapi Selangor Baharu mungkin digunakan (Pas dan Bersatu) untuk kita menghadapi PRN Selangor.

"Pada masa ini, PN sedang mencari tarikh sesuai untuk mengadakan majlis pelancaran slogan itu secara rasmi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Kata beliau, slogan itu diyakini dapat membawa mesej penting kepada rakyat bahawa PN bersedia mengambil alih kepimpinan kerajaan Selangor sekiranya diberi mandat pada PRN berkenaan.

"Kita kemukakan alternatif kepada rakyat negeri Selangor dengan memberi keutamaan untuk memastikan kepimpinan negeri kembali kepada anak negeri terutama jawatan penting seperti Menteri Besar Selangor.

"Jawatan (menteri besar) mestilah terdiri dalam kalangan anak negeri supaya ada citra Selangor dan faham selok-belok kesusahan serta permasalahan rakyat.

"Kalau menteri besar bukan anak Selangor, ada sedikit jurang di situ dan Exco PH (Pakatan Harapan) ketika ini pun tujuh daripada 10 bukan anak Selangor," kata beliau.

Ujarnya, kepimpinan kerajaan PH Selangor pada masa ini mestilah seimbang meskipun ramai pemimpin mereka bermastautin di negeri ini.

"Kita tidak ada masalah dengan anak bukan Selangor, tetapi ia mestilah seimbang dan tidak berlebihan," jelas beliau.

Selain itu, kata Roslan Shahir, slogan itu antara lain menawarkan kepada rakyat tentang kebolehan calon pemimpin dalam komponen itu yang sebelum ini pernah memberi khidmat kepada rakyat selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

"Calon kita mempunyai rekod pencapaian yang baik dalam mengurus dan mentadbir, maka mereka seharusnya diberi peluang dalam PRN Selangor," katanya.

Ditanya adakah slogan itu menjadi manifesto PRN Selangor, Roslan Shahir memberitahu, Pas ketika ini mahu mempopularkan slogan itu terlebih dahulu.

"Mungkin jadi manifesto PRN Selangor, tetapi kita tunggu apabila perkara ini telah dimuktamadkan," tambahnya.

PN memperkenalkan pra slogan 'Selangor Baharu' sebagai tawaran kepada rakyat bagi menghadapi PRN.