X

Kindly register in order to view this article
!

Utamakan vaksin kepada guru

Aminuddin (kiri) dan Mohd Azizee.
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan guru dan pendidik perlu diberi keutamaan dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Suntikan vaksin dapat melindungi guru dan membolehkan mereka mengajar semula apabila sesi persekolahan dibuka.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, sekolah merupakan antara sektor yang akan dibuka secepat mungkin setelah penularan Covid-19 kembali reda.

Katanya, penting untuk kerajaan mendahulukan pemvaksinan terhadap guru yang merupakan individu paling banyak menghabiskan masa bersama murid apabila sekolah dibuka.

“Selain daripada petugas kesihatan, keselamatan dan kumpulan berisiko, NUTP memang bersetuju sekiranya guru diberikan keutamaan dalam hal pemberian vaksin.

“Kita yakin sekolah akan dibuka sebaik sahaja keadaan Covid-19 ini sudah semakin reda dan pada masa itu murid-murid adalah golongan yang cukup berisiko terdedah kepada wabak tersebut sekiranya guru masih tidak menerima vaksin.

“Ini kerana program vaksin yang dijalankan oleh kerajaan tidak merangkumkan remaja di bawah 18 tahun sebagai golongan yang akan menerima vaksin,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Aminuddin turut berpendapat golongan guru wajar dimasukkan ke dalam kategori mereka yang diberikan keutamaan dalam pemberian vaksin.

Menurutnya, langkah untuk mengutamakan guru dalam pemberian vaksin juga adalah selari dengan saranan yang dikemukakan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, langkah mengutamakan guru dalam pemberian vaksin dapat mempercepatkan pembukaan semula sekolah secara bersemuka di seluruh negara.

“Saya yakin jika guru mendapat suntikan ini, sekolah mungkin dapat dibuka lebih awal dan pembelajaran secara bersemuka dapat diteruskan. Ini dapat menyelamatkan keciciran murid akibat daripada kekangan pembelajaran secara dalam talian,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpandangan pemberian vaksin kepada guru perlulah diutamakan kepada warga pendidik yang bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman kerana mereka amat memerlukan kepada aktiviti pembelajaran secara bersemuka.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!