DBKL, YWP diminta akur keputusan mahkamah

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memfokuskan kepada usaha menyediakan kediaman kekal buat penduduk rumah panjang Bukit Kiara.

Persatuan Penduduk TTDI dalam satu kenyataan berkata, mereka berharap agensi berkenaan akur dengan keputusan mahkamah dan tidak mengemukakan rayuan berhubung pembangunan di Taman Rimba Kiara.

Menurutnya, pihak persatuan berharap Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan YWP menunjukkan kesediaan mereka untuk mematuhi keputusan penting yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

"Sebagai pertubuhan yang mewakili ribuan pembayar cukai dan penduduk Kuala Lumpur di sekitar Taman Rimba Kiara dan rumah panjang Bukit Kiara, kami membantah penggunaan lebih banyak sumber oleh DBKL atau YWP untuk membuat rayuan terhadap satu keputusan yang begitu jelas dan muktamad.

"Peruntukan sumber yang ada untuk melakukan pembaharuan agar selari dengan panduan kehakiman yang diberikan," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada 27 Januari lalu membatalkan Kebenaran Merancang (DO) oleh DBKL bagi pembinaan kondominium di Taman Rimba Kiara.

Keputusan itu disifatkan satu kemenangan besar buat penduduk yang memperjuangkan isu memelihara Taman Rimba Kiara.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantahan pembangunan Taman Rimba Kiara berpihak kepada penduduk

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan sama, DBKL adalah agensi kerajaan yang mempunyai peranan untuk mempromosikan, memperjuangkan dan mempertahankan kepentingan rakyat.

"Oleh kerana inisiatif ini (memelihara Taman Rimba Kiara) berniat untuk kepentingan awam, kami menggesa DBKL melaksanakan peranan mereka dan tidak membelanjakan sumber yang ada untuk mencabar kehendak rakyat.

"Kami juga memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan untuk menyuarakan pendapat kami berkenaan usul pembinaan rumah bandar selari dengan semangat Wilayah Prihatin, " katanya.

Persatuan Penduduk TTDI sebelum ini mencadangkan pembinaan rumah mampu milik untuk 98 keluarga rumah panjang Bukit Kiara dibina di atas tanah atau tapak sedia yang berkeluasan 1.6 hektar sebagai kediaman kekal.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk berhak dapat kediaman lebih baik