Bantahan pembangunan Taman Rimba Kiara berpihak kepada penduduk

Hannah (dua kanan) bergambar bersama barisan peguam di Mahkamah Rayuan. -Foto: Facebook Hannah Yeoh
Hannah (dua kanan) bergambar bersama barisan peguam di Mahkamah Rayuan. -Foto: Facebook Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu pembangunan Taman Rimba Kiara berpihak kepada penduduk selepas Mahkamah Rayuan memutuskan perintah pembangunan yang diperoleh pada tahun 2017 di kawasan itu terbatal.

Keputusan tersebut disampaikan menerusi sesi Zoom yang dibuat secara dalam talian pada Rabu.

Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut merupakan satu kemenangan besar buat penduduk yang tidak berputus asa memperjuangkan isu memelihara Taman Rimba Kiara.

Menurut kenyataan itu, perjuangan itu melalui fasa yang panjang menerusi siri protes dan bantahan yang dibuat sejak 2016 dan diteruskan pada tahun berikutnya.

"Perjuangan yang sukar ini berjaya diharungi kerana kesepakatan, ketekunan dan komitmen kita untuk melindungi ruang hijau kita daripada tujuan komersial. Ia mendapat sokongan kuat daripada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

"Hasil keputusan hari ini, kami mengulangi keinginan mahu membantu penduduk rumah panjang untuk mendapatkan perumahan kekal di tapak asal itu. Mereka merupakan jiran kita dalam komuniti TTDI dan kita akan berdiri bersama mereka," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Katanya, Persatuan Penduduk TTDI berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bertindak selari dengan keputusan mahkamah.

"Marilah kita bekerjasama untuk menyediakan rumah kekal mampu milik, berkepadatan rendah untuk penduduk rumah panjang di tapak asal seluas 1.6 hektar itu. Biarkan Taman Rimba Kiara menjadi taman awam yang indah seperti sedia ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hannah turut meluahkan kegembiraan dengan keputusan tersebut dan merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam yang membantu penduduk memperjuangkan isu tersebut.

Menurut kemas kini di Facebooknya, keputusan beliau untuk berdiri bersama penduduk membantah pembangunan itu tidak mudah dan mungkin disaman oleh pemilik tanah.

"Saya ingat pertama kali dimaklumkan bertanding di Segambut, saya kaji bantahan penduduk TTDI terhadap cadangan pembangunan di Taman Rimba Kiara.

"Saya tahu isu ini adalah pertarungan besar kerana DBKL telah memberikan arahan pembangunan (Development Order) kepada pemaju, namun saya pilih memelihara Taman Rimba Kiara dalam kempen pilihan raya dan saya menang," katanya.

Kongsinya lagi, beliau terus ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa siasatan dilakukan berhubung perjanjian pembangunan itu sebaik diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Segambut.

"Saya jumpa pihak berkepentingan, penduduk rumah panjang, aktivis, penduduk sekitar, pengunjung taman, pemaju dan Menteri Wilayah Persekutuan (ketika itu Khalid Samad). Ketika itu isu Taman Rimba Kiara sudah berada di Mahkamah Tinggi.

"Saya cuba meyakinkan Khalid untuk batalkan arahan pembangunan itu namun beliau memutuskan untuk kurangkan keluasan projek. Kita kalah kes mahkamah kemudian kita buat rayuan di Mahkaman Rayuan," katanya.

Katanya, banyak pihak mempertikai keputusannya memperjuangkan isu Taman Rimba Kiara termasuk dalam kalangan ahli politik yang menganggapnya tidak masuk akal, namun ada juga yang menyokong keputusan beliau.

"Terdapat banyak perbezaan pandangan antara saya dan Menteri Wilayah Persekutuan (Khalid) dalam laporan berita. Penyokong Pakatan Harapan dan BN yang memerhatikan di luar mengatakan bahawa percanggahan pandangan secara terbuka seperti itu sangat teruk.

"Ada yang menuduh saya memperjuangkan orang kaya dengan mengorbankan orang miskin. Ada yang menggunakan isu kaum menentang saya.

"Saya turut serta bersama aktivis seperti Datuk S Ambiga dan Cynthia Gabriel of C4. Mereka banyak muncul dalam sidang media dengan saya dan menyokong saya," katanya.

Katanya, perjuangannya bersama penduduk yang banyak korbankan masa dan keluarga untuk memelihara kawasan itu terbalas dengan kemenangan.

"Hari ini keadilan berlaku. Apabila pihak berkuasa tempatan, Menteri Wilayah Persekutuan (lama dan baru) dan SPRM gagal, Mahkamah Rayuan mengembalikan kepercayaan saya.

"Kami mengalirkan air mata apabila Mahkamah Rayuan bersetuju dengan kami. Kini saya mahu fokus untuk membantu penduduk rumah panjang mendapatkan rumah kekal di tapak asal perumahan itu," katanya.