Mendengar aspek komunikasi paling berkesan

Sharifah Hayati -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sharifah Hayati -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Mendengar merupakan antara empat aspek komunikasi paling penting dalam memberi pendidikan kepada masyarakat khususnya berkaitan penderaan.

Ketua Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Sharifah Hayati Syed Ismail berkata, berdasarkan satu kajian komunikasi dijelaskan bahawa mendengar mencatatkan peratusan paling tinggi iaitu sebanyak 40 peratus berbanding tiga lagi aspek lain iaitu bercakap, membaca dan menulis.

"Dengan mendengar ia dapat memberi impak yang baik kepada seseorang, kemudian disusuli dengan bercakap, membaca dan menulis.

"Pendidikan melalui mendengar perlu dibuat secara berterusan kepada masyarakat kerana daripada dengar dan baca, mereka akan tahu tentang punca-punca penderaan dan mendapat iktibar," katanya pada Wacana al-Quran siri ke-80 bertajuk Bahaya Rantaian Kluster Nafsu: Penderaan yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Turut menjadi panel adalah Ketua Penolong Pengarah JIP (Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ghazali Daud, manakala program itu dimoderatorkan oleh Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan Qari, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang memperdengarkan bacaan surah al-Isra' ayat 30-31.

Mengulas lanjut, Sharifah Hayati berkata, antara punca utama penderaan adalah disebabkan kesusahan, pengaruh dadah, fikrah dan amarah.

Beliau berkata, fikrah umpamanya bermaksud fikiran dan ada orang yang tidak dapat mengawal kemarahan lalu tertekan sehingga berlaku kemurungan dan membawa kepada masalah kesihatan mental.

"Kesihatan mental ini wujud dalam pelbagai bentuk dan jika masyarakat khususnya ibu bapa sedar mereka sedang mengalaminya, segera dapatkan nasihat pakar agar ia dapat diatasi.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dengan amarah. Sebagai contoh dalam rumah tangga memerlukan tolak ansur antara kedua belah pihak untuk mengawal emosi mereka.

"Islam mengajar dalam keadaan marah atau beremosi, kita perlu duduk diam dan mendengar apa yang hendak dijelaskan pihak satu lagi. Seterusnya baru kita dapat membuat justifikasi, reda dan berdoa," katanya.

Tegasnya, doa adalah senjata orang mukmin dan dalam al-Quran ada banyak doa yang dapat bantu seseorang itu mengawal diri serta amarah mereka daripada melakukan perkara tidak baik termasuk penderaan.

"Sebab itu orang Islam kena pegang al-Quran, sentiasa baca dan tadabbur untuk memelihara diri," katanya.

Dari kiri, Fazrul, Ghazali, Sharifah Hayati dan Ahmad Tarmizi ketika Wacana al-Quran siri ke-80 bertajuk Bahaya Rantaian Kluster Nafsu: Penderaan yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dari kiri, Fazrul, Ghazali, Sharifah Hayati dan Ahmad Tarmizi ketika Wacana al-Quran siri ke-80 bertajuk Bahaya Rantaian Kluster Nafsu: Penderaan yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR