Kehilangan undi PH bukan isu besar - Penganalisis politik

Mohd Yusri. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Mohd Yusri. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Kehilangan 860 undi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu kali ini bukan isu yang besar.

Penganalisis Politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, ini kerana peratusan mengeluar undi yang rendah pada PRK kali ini sememangnya telah dijangka sejak awal.

Menurutnya, pengurangan undi juga berlaku terhadap Perikatan Nasional (PN), justeru isu berkenaan tidak boleh dijadikan modal bagi parti politik bertanding untuk menunjukkan kejayaan masing-masing.

“Daripada 40,226 pengundi berdaftar kali ini, yang keluar mengundi hanya 61.51 peratus, pengurangan undi bagi PH dan PN kali ini bukan menjadi isu.

“Ini adalah soal isu ‘turn out’. Bila kami turun ke lapangan, pengundi etnik Cina sebagai contoh, yang memberi komitmen sebelum ini secara besar-besaran kepada PH, mereka maklum akan keluar mengundi tetapi anak-anak mereka tidak akan balik.

“Mereka beritahu anak-anak tak perlu balik, jadi kita dah jangka kadar keluar mengundi ini akan berkurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Interviu bertajuk ‘Kuala Kubu Baharu milik siapa?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Sabtu.

Program yang dihoskan Haizir Othman turut menampilkan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa sebagai panel.

Artikel Berkaitan:

Program Interviu bersama Dr Nur Ayuni (tengah) dan Dr Mohd Yusri membincangkan Kuala Kubu Baharu milik siapa? secara langsung di Studio Sinar Harian pada Sabtu. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Program Interviu bersama Dr Nur Ayuni (tengah) dan Dr Mohd Yusri membincangkan Kuala Kubu Baharu milik siapa? secara langsung di Studio Sinar Harian pada Sabtu. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada Sabtu berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu yang disandang sejak 2013 selepas calonnya, Pang Sock Tao memperolehi 14,000 undi dengan majoriti 3,869.

Sock Tao menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut (10,131), Hafizah Zainuddin Parti Rakyat Malaysia PRM (152) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin (188).

Mohd Yusri berkata, kredit perlu diberikan kepada 60 peratus pengundi yang sanggup keluar menunaikan tanggungjawab dalam keadaan pilihan raya berterusan mula November 2022, kemudian PRN Ogos 2023 dan beberapa pilihan raya, mereka masih keluar mengundi.

“Bila kita turun padang, suasana PRK KKB ini agak suram tidak begitu ghairah. Tetapi bila kami dapati penduduk tempatan itu hendak keluar sehingga 82 peratus kami rasa ini komitmen mereka.

“Sebab itu saya merasakan bahawa orang politik perlu hargailah pengundi ini, mereka telah jalankan tugas sebagai warganegara.

“Selepas ini perlu bina politik yang baik untuk kepentingan rakyat,jangan letak politik ijni kepada kepentingan peribadi, puak dan sebagainya,” tegasnya,

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!