Pasukan MPV, URB polis bergerak serentak cegah jenayah

MOHAMAD NOOR
MOHAMAD NOOR
A
A
A

KUANTAN - Polis Daerah Kuantan akan menggerakkan seluruh pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) secara serentak untuk operasi bersepadu perdana pencegahan jenayah serta Covid-19 sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, langkah itu sedang dibincangkan bersama ketua-ketua bahagian dan ketua balai.

"Bagi penugasan yang dirancang untuk operasi itu, setiap MPV akan dianggotai dua anggota dan seorang pegawai kanan.

"Setiap pasukan akan disediakan nota hebahan cegah jenayah dan Covid-19 untuk dihebahkan kepada orang ramai di lokasi yang dikunjungi mereka," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Mohd Noor berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pemantauan di lokasi tumpuan ramai termasuk institusi perbankan dan kedai emas yang berisiko menjadi sasaran penjenayah.

"Hebahan peringatan akan diberikan agar orang ramai lebih berhati-hati dan tidak menjadi mangsa ketika berurusan di bank dan kedai emas selain mengingatkan mereka untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pada masa sama, kita akan mendapatkan kerjasama daripada bank untuk kebenaran menampal poster peringatan cegah jenayah dan Covid-19 di premis mereka,"katanya.

Tambah beliau, walaupun sibuk berdepan tugasan pencegahan Covid-19, pihaknya tetap memberi tumpuan kepada tugas hakiki dalam menangani kes-kes jenayah di daerah itu.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita rancang untuk mengadakan operasi bersepadu ini sebagai langkah serampang dua mata bagi memastikan kes jangkitan baharu Covid-19 dapat dibendung dan kes-kes jenayah dapat dikurangkan," katanya.