PPS main peranan cegah jenayah di sekolah

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) memainkan peranan dalam usaha mencegah pelakuan kes jenayah termasuk buli babit pelajar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memandang serius kes buli khususnya di sekolah.

Katanya, kejadian buli mewujudkan gejala samseng atau gengsterisme yang turut membabitkan mangsa yang mengalami kecederaan.

"Kehadiran PPS memang untuk mencegah bukan sahaja kes buli tetapi lain-lain kes jenayah yg melibatkan pelajar dengan kerjasama pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Inisiatif PPS ialah kolaborasi PDRM dan KPM dengan usaha-usaha memberi kesedaran mengenai pencegahan jenayah melalui pelbagai pendekatan seperti aktiviti ceramah, kempen serta pameran pencegahan jenayah bagi menyemaikan perasan negatif dan benci kepada pelakuan yang melanggar undang-undang," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, dalam konteks pencegahan kes buli di sekolah, peranan ibu bapa perlu diberikan perhatian yang serius.

Jelasnya, ibu bapa perlu memantau pergerakan dan pergaulan anak mereka sewaktu berada di rumah.

Untuk info, statistik tahun 2022 mencatatkan sebanyak 10,224 buah sekolah di bawah KPM terdiri daripada 7,780 buah sekolah rendah dan 2,444 buah sekolah menengah ditempatkan PPS yang dilantik daripada kalangan pegawai dan anggota polis di daerah di sekolah-sekolah tersebut.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan mangsa berusia 15 tahun dibelasah kerana perselisihan faham dengan pelajar Tingkatan Lima dalam kejadian di Taman Melawati, Ampang pada Isnin lalu.

Mangsa telah ditumbuk di bahagian dada selain dicekik dan ditendang oleh pelajar Tingkatan Lima.

Mangsa telah mengalami kecederaan di dahi, luka di kening kiri, rahang selain bengkak di tengkuk.