X

Kindly register in order to view this article
!

Buku Tommy Thomas: Tujuh laporan, dua kertas siasatan dibuka

ACRYL SANI
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima tujuh laporan polis di seluruh negara berhubung kes bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkaitan penulisan buku berjudul 'My Story: Justice in the Wilderness' yang didakwa memfitnah banyak pihak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM akan mengambil kenyataan semua pihak yang terlibat dengannya dan PDRM juga telah membuka dua kertas siasatan berkaitan kes berkenaan dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Jadi pekara itu diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan dan untuk mengambil semua tindakan yang perlu,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Besi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, Tommy juga akan dipanggil polis untuk memberi kenyataan dalam masa terdekat.

Pada Khamis, bekas peguam negara sebelum Thomas dilantik, Tan Sri Mohamed Apandi Ali antara yang membuat laporan polis berkaitan kandungan buku tulisan Tommy itu yang didakwa turut memfitnah dirinya.

Mohamed Apandi membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini dengan diiringi peguamnya, Datuk Baljit Singh Sidhu.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata, ketua kumpulan kongsi gelap dari China, Wan Kuok Koi yang dikenali sebagai 'Broken Tooth' dikehendaki polis sebelum ini berikutan dakawaan terbabit kes gangsterisme dan penipuan berjumlah RM6 juta didapati tidak berada di dalam negara.

"Setakat apa diberitahu kepada saya subjek ini sudah tidak berada di dalam negara ini dan dia terlibat dalam siasatan polis berhubung satu kes penipuan berlaku dalam negara," katanya.

Lelaki berusia 65 tahun itu dikehendaki PDRM sejak 16 Oktober tahun lepas atas dakwaan terbabit kes gangsterisme dan penipuan berjumlah RM6 juta.

Wan sebelum ini menjalani hukuman penjara 14 tahun di Macau, selepas disabitkan kesalahan sindiket ceti haram atau along, pengubahan wang haram dan mengetuai kumpulan penjenayah, sebelum dibebaskan pada tahun 2012.

Mengulas mengenai pelaksanaan SJR dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang didakwa longgar, Acryl Sani berkata, dakwaan itu adalah tidak benar bahkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di setiap SJR seluruh negara.

"Peningkatan itu nampak ketara berbanding PKP sebelum ini jadi polis perlu memeriksa supaya orang awam yang mempunyai dokumen lengkap dibenarkan melakukan perjalanan.

"Boleh dikatakan sepanjang tempoh ini lebih 98 peratus orang awam yang melakukan perjalanan mempunyai dokumen berkenaan, jadi orang awam lain diminta bersabar untuk melepasi mana-mana sekatan jalan raya kerana pertambahan kenderaan itu memang telah dijangka," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!