Mahkamah putuskan Rosliza Ibrahim bukan Islam

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita yang dilahirkan di luar nikah, berbapakan seorang Muslim dan ibu penganut agama Buddha berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk diisytiharkan sebagai bukan Muslim.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim dalam penghakiman dengan keputusan majoriti 7-2 itu yang disampaikan melalui sidang dalam talian membenarkan rayuan Rosliza Ibrahim serta permohonannya.

Beliau memutuskan bahawa Rosliza bukan orang yang menganut agama Islam kerana tidak ada bukti bahawa beliau adalah seorang Islam dengan kepercayaan yang sebenar.

Tengku Maimun berkata, juga tiada bukti yang menunjukkan ibu Rosliza menganut agama Islam pada masa kelahiran Rosliza kerana menganggap dirinya beragama Buddha dalam permohonan bertulis untuk kad pengenalan baharu pada tahun 1995 dan dalam perisytiharan berkanunnya pada tahun 2008.

Pengisytiharan yang diberikan adalah bahawa Rosliza, 38, adalah anak tak sah taraf dan bahawa ibunya yang meninggal pada tahun 20O9, seorang Buddha, adalah ibu kandungnya.

Mahkamah juga memberikan perisytiharan bahawa perkataan 'ibu bapa' dalam perenggan (b) Tafsiran 'Muslim' dalam Bahagian 2 Pentadbiran Agama Islam (Enakmen Negeri Selangor 2003) tidak termasuk dianggap sebagai bapa seorang anak luar nikah.

Pengisytiharan ketiga yang diberikan adalah bahawa Rosliza bukan orang yang menganut agama Islam dan Mahkamah Syariah di negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa terhadapnya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang bersetuju dengan Tengku Maimun.

Artikel Berkaitan:

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim setuju dengan Tengku Maimun berhubung dua persoalan undang-undang itu namun berpendapat tidak boleh membuat sebarang perintah berhubung pengisytiharan yang diminta Rosliza kerana tidak mempunyai pandangan jawatankuasa fatwa.

Azahar hanya memberi pengisytiharan bahawa Rosliza, penduduk Selangor, anak luar nikah dan ibu kandungnya penganut Buddha.

Beliau berkata, perkara berkaitan status agama Rosliza pada masa kelahirannya yang melangkaui bidang undang-undang Islam, memerlukan pertimbangan serius, penelitian sewajarnya dan penafsiran undang-undang yang tepat.

"Saya berpendapat bahawa untuk menghilangkan keraguan, disarankan agar Mahkamah Sivil mendapatkan pandangan para Ulama yang berkelayakan dalam bidang perundangan Islam untuk memberikan pendapat sesuai dengan hukum dan prinsip agama untuk membantu mahkamah dalam menentukan isu itu, " katanya.

Terdahulu, Tengku Maimun berkata, bukti berdasarkan kedua-dua pernyataan berkanun Rosliza dan ibunya serta surat-surat pihak berkuasa agama yang menyatakan bahawa mereka tidak dapat menemui sebarang rekod perkahwinan antara ibu bapa Rosliza telah cukup menimbulkan keraguan mengenai kewujudan perkahwinan ibu bapanya.

Beliau berkata, memandangkan tiada bukti daripada bapa Rosliza, pihak berkuasa agama atau orang lain yang berkaitan, tidak ada bukti bahawa ibu bapa Rosliza telah berkahwin.

Tengku Maimun berkata, Rosliza merupakan anak luar nikah dan ibunya tidak pernah memeluk agama Islam, oleh itu agama bapanya tidak boleh diturunkan kepadanya (Rosliza).

Beliau berkata, tiada bukti bahawa ibu Rosliza bersama-sama bersetuju untuk mengakuinya (Rosliza) sebagai seorang yang beragama Islam.

Rosliza memfailkan saman pemula pada tahun 2015 untuk mendapatkan satu pengisytiharan bahawa beliau bukan seorang Muslim dan oleh itu Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadapnya kerana dia mendakwa dilahirkan di luar nikah, berbapakan seorang Muslim tetapi dibesarkan sebagai penganut agama Buddha olehnya ibu yang beragama Buddha.

Menurut fakta kes, pada tahun 1994, bapanya mengemukakan permohonan kad pengenalan bagi pihak Rosliza dan dalam permohonannya, dia menyatakan agama anak perempuannya itu sebagai Islam dan mencatatkan keturunan ibu Rosliza sebagai orang Melayu.

Pada tahun 1995, bapanya mengemukakan permohonan kad pengenalan baharunya sendiri dan mencatatkan agamanya sebagai Islam dan telah berkahwin. Sebulan sebelumnya pada tahun yang sama, ibu Rosliza mengemukakan permohonannya untuk mendapatkan kad pengenalan baharu yang mencatatkan agamanya sebagai Buddha, keturunannya sebagai orang Cina dan status perkahwinannya sebagai berkahwin.

Pada 22 Jun 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman pemula itu atas alasan bukti yang dikemukakan pemohon hanya menunjukkan bahawa tiada pendaftaran perkahwinan dibuat dan perkara itu tidak membuktikan bahawa perkahwinan itu tidak berlaku.

Wanita itu kemudiannya merayu namun gagal setelah rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 25 April 2018.

Pada 20 Januari tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Rosliza untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap dua isu perundangan yang perlu diputuskan mahkamah. - Bernama