Kaji dahulu sebelum guna produk kosmetik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUDAYA masyarakat hari ini yang ingin memiliki kulit wajah cantik seperti barbie doll dikatakan sangat membimbangkan. Ini berikutan terlampau banyak lambakan produk kosmetik tempatan yang wujud di pasaran Malaysia.

Apa yang lebih merisaukan apabila ada pengeluar kosmetik yang menggunakan bahan-bahan terlarang dan boleh memudaratkan pengguna.

Namun, obsesi pengguna yang ingin cantik dengan cepat membuatkan mereka lupa tentang aspek keselamatan dan akhirnya membawa kepada penyakit kronik yang berpunca daripada diri sendiri.

Bahan-bahan kimia terlarang seperti merkuri, hydroquinone dan tretinoin masih menjadi pilihan pengusaha produk kosmetik kerana ia dapat memberikan kesan drastik yang diharapkan.

Kebanjiran produk kosmetik yang menggunakan racun berjadual juga dikatakan masih lagi berterusan di pasaran walaupun pihak Kementerian Kesihatan giat menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di premis-premis kecantikan.

Kebanyakan pengeluar produk ialah usahawan yang cuba menghasilkan produk sendiri dengan menjual ‘produk timbang kilo’.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Peter (2012), kebanyakan produk kosmetik yang mengandungi pelbagai logam berat yang berbahaya berpotensi menyebabkan kanser kulit.

Ini kerana logam berat tersebut mempunyai kandungan bahan kimia seperti Kadmium (Cd), Plumbum (Pb), Merkuri (Hg) dan Arsenik (As).

Kajian yang dilakukan oleh MacDonald (2004) pula mendapati pengguna yang kerap menggunakan logam berat dalam tempoh masa yang panjang boleh menyebabkan alahan pada kulit dan lebih membimbangkan lagi apabila logam berat itu mula menghasilkan sel-sel kanser kepada pengguna.

Perlu diingatkan bahawa tubuh badan setiap individu sememangnya mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap produk yang digunakan, malah bergantung kepada tempoh penggunaan. Ada yang mendapat kesan negatif yang teruk, ada yang sederhana, ada yang tidak mendapat sebarang kesan negatif langsung pada wajah.

Artikel Berkaitan:

Mungkin kesan sampingan itu berlaku menerusi organ dalaman seseorang seperti kerosakan saraf dan buah pinggang. Kita tidak nampak apa yang berlaku di dalam.

Berbaloikah menjadikan diri sendiri sebagai bahan uji kaji untuk bahan yang telah terbukti bahaya?

Berdasarkan pengalaman seorang sumber yang mahu dikenali sebagai Evelyn, 31, berkata, dia pernah menggunakan ‘produk timbang kilo’, yang dalam masa dua hari kulitnya terasa pedih, kemerah-merahan dan tona kulit tidak sekata.

Katanya, seluruh wajahnya turut dipenuhi jerawat nanah yang teruk dan menggelupas akibat menggunakan produk berbahaya itu.

“Selepas kejadian ini, saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pemakaian produk berkenaan dan berhenti serta-merta,” katanya.

Pakar kulit

Mengulas lanjut, Evelyn berkata, dia turut mengambil inisiatif berjumpa dengan pakar kulit untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, rawatan yang diberikan itu bergantung mengikut kesesuaian dan keadaan kulit individu.

“Biasanya doktor akan bagi ubat makan antibiotik, ubat hormon dan ubat yang dipanggil isotretinoin. Tempoh rawatan ini mengambil masa selama setahun. Alhamdulillah, jerawat makin surut, kulit saya pun dan kembali pulih sepenuhnya.

“Untuk kesan parut pula mengambil masa selama tiga hingga empat bulan untuk hilang,” ujarnya.Penulis sarankan kepada pengguna di luar sana supaya meneliti produk kosmetik yang mahu digunakan terlebih dahulu dengan mendapatkan maklumat betul dan tepat.

Perkara asas yang perlu diambil serius adalah kandungan atau bahan digunakan dalam penghasilan produk kosmetik selain proses penyediaan bagus dan berkualiti.

Pengguna juga perlu merujuk kepada pengamal kesihatan profesional bagi mendapatkan kefahaman dan nasihat. Boleh menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Sesungguhnya, kulit kita amat berharga. Sekali rosak, menyesal tak sudah. Jangan obses dengan kecantikan dengan menggunakan produk murah yang diragui keselamatan.

* Raja Nur Faznie Aida ialah wartawan Nasional Sinar Harian