Isu kewangan bukan alasan nafikan hak golongan OKU

Hasnah ketika menghadiri program Wacana Al-Quran siri ke-78 yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. FOTO: FOUZIAH AMIR
Hasnah ketika menghadiri program Wacana Al-Quran siri ke-78 yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. FOTO: FOUZIAH AMIR
A
A
A

SHAH ALAM - Isu kewangan sering menjadi halangan utama dalam menyediakan pelbagai keperluan bagi memenuhi hak golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Hasnah Toran, antara hak OKU yang seringkali dinafikan atas faktor tersebut adalah hak pekerjaan dan hak pendidikan.

Katanya, pihak yang terlibat perlu lebih kreatif mencari penyelesaian bagi isu tersebut kerana golongan OKU perlu mendapat hak yang sama rata seperti orang biasa.

“Mereka yang terlibat ini harus berfikir di luar kotak. Kalau isu kewangan kerap dijadikan alasan sampai bila-bila isu ini tidak akan selesai.

“Sebagai contoh, hak pendidikan OKU. Dengan teknologi yang ada sekarang, apa kata kita latih guru-guru pendidikan khas menjadi lebih berkualiti seterusnya memberi pendidikan yang berkualiti kepada golongan OKU sepertimana orang biasa dapat,” katanya semasa program Wacana Al-Quran siri ke-78 yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Hasnah ketika menghadiri program Wacana Al-Quran siri ke-78 yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. FOTO: FOUZIAH AMIR
Hasnah ketika menghadiri program Wacana Al-Quran siri ke-78 yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. FOTO: FOUZIAH AMIR

Tambahnya, jika hak OKU dinafikan, ia akan menjadi beban kepada negara pada masa akan datang.

Menceritakan pengalaman membesarkan anak OKU, kata Hasnah tugasan tersebut bukanlah perkara yang mudah dan memerlukan kos kewangan yang sangat tinggi.

Artikel Berkaitan:

Walaupun susah, beliau tetap berusaha untuk memberi yang terbaik buat anaknya memandangkan itu adalah tanggungjawabnya.

“22 tahun yang lalu, anak saya didiagnos penyakit autisme di mana ketika waktu itu di Malaysia masyarakat tiada ilmu mengenai penyakit itu malah perkataan autisme tak pernah didengari.

“Memang sangat susah ketika itu, dengan kos yang tinggi untuk membayar terapi setiap hari yang mencecah ratusan ringgit.

“Menyedari tak mampu menyediakan duit bagi terapi, saya sendiri cari ilmu, walaupun bukan profesional saya cuba pastikan anak dapat sebanyak mungkin terapi di rumah,” katanya.

Tambah Hasnah, jika seluruh rakyat Malaysia dan kerajaan bersama-sama mengembleng tenaga, dia yakin isu-isu mengenai hak OKU ini dapat diselesaikan.