[EKSKLUSIF] 'Ekonomi hitam menguatkan rasuah'

Pengaruh gerakan ekonomi hitam menjadi salah satu punca rasuah begitu rumit untuk dihapuskan di Malaysia.
Pengaruh gerakan ekonomi hitam menjadi salah satu punca rasuah begitu rumit untuk dihapuskan di Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengaruh gerakan ekonomi hitam menjadi salah satu punca rasuah begitu rumit untuk dihapuskan di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Mohd Hanif Omar berkata, gerakan ekonomi hitam bertambah besar disebabkan penguat kuasa yang menerima rasuah tidak mengambil tindakan terhadap pengendali gerakan berkenaan.

"Saya tidak mengetahui peratusannya berbanding dengan GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) namun mereka (gerakan itu) boleh menjual beli penguatkuasa-penguatkuasa sehingga peringkat menteri.

"Kadang-kadang parti politik yang hendak mengadakan kempen pun dibeli, jadi macam mana (pemimpin politik) hendak mengambil tindakan terhadap orang macam ini," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hanif yang juga merupakan bekas Ketua Polis Negara ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub di Kompleks Karangkraf di sini pada Rabu.

Hadir sama, bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman dan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Dalam pada itu, Mohd Hanif berkata, sebagai bekas Ketua Polis Negara, beliau kesal apabila pengendali gerakan ekonomi hitam turut diterima dan mendapat tempat dalam masyarakat kerana sumber kewangan yang dimiliki mereka.

"Mereka boleh (mendapat gelaran) jadi Datuk dan ada juga sekarang ini telah pun diangkat menjadi Tan Sri. Orang macam ini (boleh mendapat gelaran) iaitu pengendali ekonomi hitam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hanif turut mendedahkan gerakan 'underground' itu menerusi 'tali barut' mereka turut berani untuk membuat tawaran puluhan juta ringgit kepada bakal Ketua Polis Negara yang akan dilantik.

"Apabila seseorang diuar-uarkan bakal menjadi Ketua Polis Negara, saya dengar (gerakan) 'underground' ini mengarahkan bekas (pegawai) polis terdahulu yang sudah berada di tangan mereka untuk mendesak (membuat tawaran).

"Kalau beliau (bakal Ketua Polis Negara) itu bekerjasama dan tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti mereka, mereka akan memberi habuan yang akan membuat kehidupan mereka selesa tetapi (habuan itu) tidak akan 'menjolok' mata kerajaan atau pihak berkaitan.

"Bila dah pencen esok, mereka berjanji akan memberi RM20 juta, RM40 juta. Tali barut mereka akan meyakinkan Ketua Polis Negara yang baharu bahawa mereka akan tetap akan laksanakannya (perjanjian itu)," katanya.

Berikutan maklumat yang diterima, Mohd Hanif kemudiannya mengadakan pertemuan dengan bakal Ketua Polis Negara terbabit untuk mendapatkan maklumat yang sebenar mengenai perkara itu.

"Saya berjumpa dengan bakal Ketua Polis Negara itu (untuk bertanya) adakah mereka memberikan tawaran, jawabnya, ada," katanya dan kemudian memberi amaran agar tidak bekerjasama atau menerima tawaran itu.

Menurut Mohd Hanif, dengan pengaruh yang besar pengendali gerakan ekonomi hitam itu dapat membuat tawaran kepada sesiapa sahaja malah mampu untuk membeli syarikat-syarikat yang besar.

"Ini termasuk 'membeli' parti politik malah mereka sudah masuk dalam parti. Sebab itu, MPM buat Gerakan Jihad Rakyat untuk 'tackle' benda macam ini. Kita mesti 'berperang' dengan mereka habis-habisan," katanya.

Gerakan Jihad Rakyat adalah satu platform yang menyediakan saluran ke arah usaha bersepadu memerangi rasuah anjuran MPM bersama beberapa institusi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau kemudiannya mengambil contoh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dengan berkata, bukan semua menyukai pegawai terbabit termasuk dalam pasukan polis kerana mereka berada dalam tangan gerakan itu.

"Saya dahulu begitu juga bila saya jadi masalah kepada diorang (berdasarkan maklumat diperoleh) ada perbincangan dibuat.

"Mereka berbincang dalam kantin polis di Klang, IGP (Ketua Polis Negara) baharu (ketika itu, Mohd Hanif) kuku besi, kita nak bergerak pun tak boleh, apa semua (susah).

"Ada kerani (dalam perbincangan itu) berkata, apa susahnya IGP (Ketua Polis Negara) sebelum dia tu kena tembak mati, satu peluru cukuplah untuk Mohd Hanif itu dia kata.

"Inilah dia (keadaannya), jadi untuk memerangi mereka bukan satu perkara yang senang," katanya.

Didikan seawal usia

Mohd Hanif menyarankan agar didikan mengenai bahaya rasuah diterapkan kepada golongan pelapis negara bermula di peringkat seawal usia kanak-kanak lagi.

Beliau turut mencadangkan agar satu mata pelajaran khas mengenai bahaya rasuah didedahkan kepada mereka bermula di peringkat prasekolah dan ke peringkat seterusnya sehingga tamat belajar.

Dalam perkembangan lain, MPM turut berpandangan darurat sepatutnya diisytiharkan atas tiga gejala utama yang semakin meruncing di negara ini, berbanding asas di sebalik Covid-19.

Gejala utama ialah rasuah dan salah guna kuasa yang tidak terkawal, kemelut perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin Melayu serta gerakan ekonomi hitam sehingga mengancam keselamatan negara.

Mohd Hanif berkata, segenap rakyat harus menggembleng tenaga untuk menangani tiga gejala berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, MPM bersama beberapa institusi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan Gerakan Jihad Rakyat bagi menyediakan saluran ke arah usaha bersepadu sedemikian.

Katanya, bagi menangani gerakan ekonomi hitam, MPM turut mendesak kerajaan merombak draf Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang sedia dibentangkan kerana tidak bersesuaian dengan keperluan pembangunan dan agenda kemakmuran semasa.

Sebaliknya, beliau berkata, RMKe-12 wajar digubal mengikut acuan kemakmuran yang mengutamakan peranan dan sumbangan semua tonggak utama kemakmuran secara integral, setara, seimbang, saksama serta saling berkait.

"Justeru, hidupkan kembali Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 bagi memudah cara pihak berkuasa melumpuhkan kegiatan ekonomi ini," katanya yang membangkitkan perkara itu dalam pertemuan bersama Hussamuddin.