Negeri Sembilan peruntuk RM2 juta beli tablet untuk pelajar kurang mampu

Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Tabung Amanah Penyelenggaraan Sekolah dan Tabung Bina Insan telah memperuntukkan RM2 juta untuk memberi bantuan tablet kepada seramai 3,600 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kemudahan itu bagi membolehkan pelajar terutama dari kawasan luar bandar dapat mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan baik.

"Kita sedia maklum sesi persekolahan belum bermula dan belum pasti bila ia akan bermula sepenuhnya seperti biasa.

"Jadi kita telah putuskan beberapa peruntukan khusus di bawah Tabung Amanah Penyelenggaraan Sekolah sebanyak RM1.5 juta dan Tabung Bina Insan sebanyak RM500,000 untuk membeli peranti kepada anak-anak yang memerlukan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Menurutnya, pihaknya kini dalam proses mendapatkan pembekal alat peranti berkenaan dan akan memastikan kemudahan itu dapat diberikan secepat mungkin.

Katanya, terdapat syarat kelayakan ditetapkan dan ia akan diumumkan kemudian.

"Setiap pusat khidmat akan menerima 100 tablet yang akan diberikan kepada pelajar yang memerlukan. Keutamaan kita untuk memastikan anak-anak dapat pendidikan terbaik," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk memberi pengecualian sewa gerai pada bulan Januari dan Februari kepada sebanyak 4,165 gerai di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel Berkaitan:

Aminuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati peniaga kecil antara kelompok yang paling terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sementara itu katanya, pihaknya juga turut mencadangkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk mengadakan solat hajat di semua masjid selepas solat Jumaat minggu ini untuk memohon negara dijauhkan daripada ujian Covid-19 dan dipermudahkan segala urusan.