Wujud mekanisme tingkat keselamatan penunggang motosikal

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A
PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu meneliti untuk mewujudkan mekanisme yang berkesan bagi mempertingkatkan kesedaran pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal terhadap keselamatan di jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata walaupun terdapat penurunan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya, namun peratusan tinggi di kalangan penunggang motosikal iaitu 64.5 peratus masih amat membimbangkan.

"Inilah cabaran tugas yang dihadapi JPJ dari semasa ke semasa. Ini bagi memastikan kelangsungan kitaran penyampaian perkhidmatan dan penguatkuasaan agar sentiasa efektif dan efisien serta melangkaui ekspetasi rakyat," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan JPJ di sini hari ini.

Menurut Loke, statistik kemalangan pada tahun lepas yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia menunjukkan jumlah terkumpul kematian akibat kemalangan jalan raya adalah sebanyak 6,740 kematian berbanding tahun 2016 iaitu seramai 7,152 kematian.

"Terdapat penurunan sebanyak 9.65 peratus berbanding tahun sebelumnya. Jumlah penurunan ini menunjukkan hasil yang positif di atas usaha-usaha yang telah dilakukan melalui kempen, program advokasi dan penguatkuasaan yang berterusan," katanya.

Loke turut mengucapkan tahniah kepada JPJ yang merupakan agensi penguatkuasaan kedua dianugerahkan pensijilan ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System (ABMS), yang menunjukkan keseriusan agensi itu dalam memerangi rasuah dan mempertingkatkan integriti serta keyakinan orang ramai terhadap JPJ.

Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan Pelan Induk Penjenamaan Semula JPJ ke Arah Organisasi Berprestasi Tinggi, yang merupakan kajian analisis jurang fungsi-fungsi utama perkhidmatan JPJ ke arah meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan penguatkuasaan secara lebih cekap dan berkesan.

Menurut Loke, pelan induk itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) sejak tahun lepas bagi memperkasakan JPJ secara holistik dengan mengutamakan dua agenda tersebut.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid dan Pengarah Intan Datuk Suriani Ahmad. – Bernama
Artikel Berkaitan: