Dua beruang matahari masuk perangkap

Beruang matahari yang memasuki perangkap di Pengkalan Berangan, Marang.
Beruang matahari yang memasuki perangkap di Pengkalan Berangan, Marang.
A
A
A

MARANG - [DIKEMASKINI] Dua ekor beruang matahari yang mengganas dengan merosakkan sarang madu kelulut penduduk kampung di Marang dan Dungun sejak dua minggu lalu, akhirnya memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Di Marang, beruang matahari jantan seberat 70 kilogram memasuki perangkap pada jam 4 pagi Selasa di Kampung Pengkalan Berangan manakala di Batu Tiong, Dungun beruang matahari jantan seberat 80 kilogram memasuki perangkap jam 10.30 malam Isnin.

Difahamkan, kehadiran beruang matahari itu disedari penduduk Kampung Pengkalan Berangan sejak 15 Januari lalu selepas beberapa sarang madu kelulut dirosakkan.

Anggota Perhilitan Terengganu memeriksa beruang yang memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Pengkalan Berangan, Marang.
Anggota Perhilitan Terengganu memeriksa beruang yang memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Pengkalan Berangan, Marang.

Pesara guru, Ali Yusof, 60, berkata, dia pada mulanya menyangka sarang madu kelulut miliknya dirosakkan babi, namun pada 27 Januari lalu, isteri terlihat kelibat beruang matahari berkenaan ketika sedang menjemur kain.

“Saya kemudiannya hubungi pihak Perhilitan, sebelum mereka datang memasang perangkap pada Khamis (28 Januari) dan dua hari kemudian, beruang itu sekali lagi datang memakan madu yang ada.

“Tapi, kira-kira jam 4 pagi tadi, saya terdengar bunyi pelik dari arah perangkap dan setelah memeriksanya, saya dapati beruang itu sudah masuk perangkap.

“Setakat ini saya mengalami kerugian kira-kira RM15,000 kerana 18 sarang kelulut yang saya usahakan sejak tiga tahun lalu rosak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ali menunjukkan sarang madu kelulutnya yang dirosakkan beruang.
Ali menunjukkan sarang madu kelulutnya yang dirosakkan beruang.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi pada Selasa, mengesahkan pihaknya telah berjaya menangkap dua ekor beruang di Marang dan Dungun.

Jelasnya, beruang matahari yang berjaya masuk perangkap di Dungun itu mula mengganggu penduduk sejak seminggu lalu manakala di Marang, haiwan liar itu mula mengganggu sejak dua minggu lalu dengan memakan sarang madu kelulut milik penduduk kampung.

“Kedua-dua ekor beruang matahari itu atau nama saintifiknya helarctos malayanus akan dihantar ke Taman Negara Terengganu," katanya.