Haiwan dan penyelidikan

A
A
A

BAGI menjawab soalan asas dalam bidang sains dan gunaan, model haiwan telah menjadi bahan eksperimen yang tidak ternilai dalam kajian saintifik terutamanya penyelidikan perubatan, untuk menguji ubat baharu atau teknik pembedahan terkini sebelum ujian ke atas manusia dapat dijalankan.

Setiap ubat baharu perlu melalui beberapa proses dan diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ia boleh dipasarkan. Proses yang pertama ialah kajian in vitro, iaitu kajian ke atas sel manusia dalam makmal.

Sebagai contoh, katakan terdapat ubat tradisional (ubat A) yang didakwa boleh mengubati kanser. Perkara pertama yang dikaji adalah sama ada ubat A tersebut akan merosakkan atau membunuh sel-sel manusia. Jika didapati selamat, kajian seterusnya akan dibuat untuk melihat sama ada ia berupaya membunuh sel-sel kanser yang dibiakkan dalam makmal.

Jika tidak, dos akan ditambah pada kepekatan maksimum. Jika jawapannya masih tidak, penyelidikan tidak perlu diteruskan. Jika pada peringkat ujian in vitro menunjukkan keputusan yang signifikan, proses seterusnya adalah mengkaji ubat A ke atas haiwan. Kebiasaannya, haiwan yang digunakan untuk ujikaji di makmal ialah tikus. Ungkapan guinea pig yang bermaksud ‘bahan ujikaji’ sebenarnya merujuk kepada sejenis tikus makmal yang sering digunakan dalam kajian.

Menurut Foundation for Biomedical Research (FBR), 95 peratus haiwan makmal ialah tikus. Saintis dan penyelidik bergantung pada tikus untuk ujikaji mereka berdasarkan beberapa faktor. Antaranya, ia haiwan kecil, mudah disimpan, dipelihara, dikendalikan serta mudah mengadaptasi badannya dengan suasana persekitaran.

Tikus juga membiak dengan cepat dan jangka hayatnya pendek; sekitar 2–3 tahun. Selain itu, tikus makmal dapat dibeli dengan harga yang agak murah dalam kuantiti yang banyak daripada syarikat yang membekalkan tikus makmal untuk ujikaji. Ringkasnya, tikus merupakan haiwan yang mudah dikendalikan untuk ujian walaupun terdapat sedikit kesulitan untuk tujuan tersebut.

Selain faktor ini, tikus memiliki genetik serta sifat biologi dan perilaku mirip manusia. Dalam banyak keadaan, ujikaji ke atas manusia dapat diuji semula ke atas tikus. Selain tikus, haiwan yang lebih besar yang sifat biologinya mirip biologi manusia ialah arnab. Jenis baka arnab yang paling biasa digunakan ialah New Zealand White yang beratnya boleh mencecah empat kilogram atau lebih apabila berusia empat bulan.

Penggunaan haiwan dalam penyelidikan bukannya mudah kerana perlu mematuhi prinsip dan garis panduan etika penggunaan haiwan. Setiap penyelidikan saintifik yang menggunakan haiwan harus disertakan dengan kertas kerja yang lengkap, dengan keutamaan diberikan kepada usaha meminimumkan kesakitan dan ketidakselesaan ke atas haiwan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ahli jawatankuasa etika haiwan akan menilai cadangan penyelidikan berdasarkan perkara-perkara berikut:

(1) Spesies, baka, saiz, umur, jantina dan bilangan haiwan yang bersesuaian,

(2) Kewajaran penggunaan model haiwan,

(3) Kebajikan haiwan semasa pengendalian dan pengurangan sakit berdasarkan lima keperluan (Akta 772 Seksyen 24(1a)),

(4)Kompetensi penyelidik dalam mengendalikan penyelidikan haiwan,

(5) Matlamat, reka bentuk dan merit saintifik penyelidikan tersebut, dan

(6) Memenuhi matlamat 3R (replacement, reduction dan refinement).

Ahli jawatankuasa akan berbincang dan menentukan sama ada cadangan penyelidikan diluluskan, perlu penambahbaikan atau ditolak. Kelulusan untuk menjalankan penyelidikan hanya akan diberi selepas penambahbaikan cadangan penyelidikan dilakukan mengikut saranan ahli jawatankuasa.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.