X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Tommy Thomas dakwa Dr Mahathir tak setuju Wan Azizah jadi PM

Tommy Thomas
A
A

SHAH ALAM - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mendakwa bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad campur tangan dan berkeras ingin menjadi Perdana Menteri sementara selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencadangkan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyandang jawatan itu.

Dalam pendedahan menerusi buku memoirnya My Story: Justice In The Wilderness, Tommy turut menyifatkan Dr Mahathir sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Punca utama kegagalan hubungan gabungan PH disebabkan pemimpinnya, Perdana Menteri, Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad). Pemimpin PH bertanggungjawab atas kegagalan ini," kata Thomas seperti dilaporkan portal Malaysiakini pada Ahad.

Dalam pada itu, bekas Peguam Negara itu juga menganggap sokongan diberikan pelbagai lapisan masyarakat kepada Ahli Parlimen Langkawi pada peringkat awal kerajaan PH itu juga sebagai luar biasa.

Selain itu, Tommy turut mendedahkan tindakan Dr Mahathir menggalakkan ahli Parlimen UMNO meninggalkan parti itu untuk melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga membimbangkan.

Pada masa sama, Tommy berkata, tindakan Dr Mahathir meminggirkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipersetujui bersama untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepasnya juga tidak disenangi.

“Yang memburukkan lagi keraguan (Anwar) untuk jadi Perdana Menteri jelas pada tahun pertama pentadbiran PH, ketika hubungan Perdana Menteri dengan musuh utama Anwar dalam PKR, Azmin Ali (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali)

“Tindak balas PH yang disifatkan tidak aktif dan lambat berhubung isu perkauman dan agama juga membuahkan keputusan pelik dari Perdana Menteri.

“Selain mempertahankan rakan sekutunya yang turut berjuang dalam Pilihan Raya Umum (PRU14), Tun (Mahathir) malah mempelawa ahli Parlimen UMNO dan menyambut mereka dengan tangan terbuka.

“(Berlaku) Dua atau tiga gelombang 'katak' dari UMNO menyebabkan 18 daripada mereka beralih parti ke Bersatu,” kata Tommy.

Menurutnya, ketika Mohamed Azmin berpaling tadah dengan meninggalkan PKR dan menyertai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membawa Bersatu keluar dari PH, Dr Mahathir meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Namun dakwa Tommy, Dr Mahathir segera mencalonkan namanya kembali untuk jawatan Perdana Menteri ketika berlaku ketidaktentuan politik dalam negara.

“Ini bukan satu kebiasaan dalam politik moden. Perdana Menteri yang selesa berkuasa, mengundurkan diri atas kehendak dan kemahuan sendiri.

“Bertegas dengan keputusan itu, dia sepatutnya meninggalkan dunia politik selepas memegang jawatan penting dalam negara,” katanya.

Tommy menjelaskan, keputusan untuk melantik Dr Wan Azizah yang berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Dr Mahathir pasti menjadi keputusan betul mengikut Perlembagaan

Namun, bekas Peguam Negara itu mengkritik keputusan Dr Mahathir membubarkan Kabinet selepas peletakan jawatannya dengan berkata, barisan pentadbiran itu sepatutnya perlu dikekalkan.

“Perlu diingatkan peletakan jawatan Tun (Dr Mahathir) bersifat peribadi, hanya sebagai Perdana Menteri. (Peletakan) Jawatan itu tidak dibincangkan dalam pejabat mahupun seluruh kerajaan," katanya lagi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!