Vape nikotin bantu hilang ketagihan perokok

E-rokok tidak menggunakan tembakau tetapi mengandungi cecair nikotin yang disedut pengguna di dalam wap. - Foto Bernama
E-rokok tidak menggunakan tembakau tetapi mengandungi cecair nikotin yang disedut pengguna di dalam wap. - Foto Bernama
A
A
A

SELAMA berdekad-dekad, kerajaan di seluruh dunia telah cuba untuk menggalakkan perokok di negara masing-masing berhenti merokok menerusi pelbagai langkah kawalan tembakau.

Walaupun ada beberapa langkah yang menunjukkan keberkesanan, yang lain pula mencatatkan hasil yang kurang memuaskan.

Malah ramai juga perokok yang memulakan azam tahun baharu untuk berhenti merokok tetapi akhirnya 'azam tinggal azam'.

Perbincangan tentang penyelesaiannya baru-baru ini beralih kepada vape nikotin memandangkan perokok dan juga bekas perokok kini memilih vape nikotin sebagai alternatif kepada merokok atas pelbagai sebab.

Banyak kajian yang dijalankan, termasuk penilaian toksikologi baru-baru ini oleh Jawatankuasa Ketoksikan Bahan Kimia Makanan, Produk Pengguna dan Alam Sekitar United Kingdom yang mendapati bahawa vape bernikotin kurang berbahaya berbanding merokok.

Walaupun ia mungkin alternatif yang lebih sesuai bagi rokok, bolehkah vape membantu perokok menghentikan tabiat merokok?

E-rokok tidak menggunakan tembakau tetapi mengandungi cecair nikotin yang disedut pengguna di dalam wap.

Satu tinjauan selidik di UK baru-baru ini yang dikendalikan oleh Action on Smoking and Health (ASH), iaitu sebuah badan kesihatan awam yang menyokong kawalan tembakau dan berusaha membasmi kemudaratan tembakau, mendapati lebih separuh daripada pengguna vape negara itu adalah bekas perokok, dan kadarnya semakin meningkat setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

“Penggunaan e-rokok kebanyakannya digunakan perokok sedia ada dan bekas perokok manakala penggunaan dalam kalangan orang yang tidak pernah merokok adalah rendah.

"Daripada 3.2 juta pengguna vape semasa, hampir 2 juta adalah bekas perokok dan 1.2 juta adalah perokok sedia ada,” kata ASH yang telah ditubuhkan oleh Royal College of Physicians, badan profesional British yang bertekad untuk menambah baik amalan perubatan, dengan warisan sejarah menjangkaui lebih 500 tahun.

Malah, Kajian Smoking Toolkit University College of London yang menyediakan data bulanan mengenai amalan merokok dan langkah kawalan tembakau menunjukkan hubung kait jelas antara kadar perokok berhenti dan peningkatan penggunaan vape.

Bukti terbaharu daripada ujian kawalan rambang juga mendapati penggunaan vape adalah dua kali lebih berkesan daripada Terapi Penggantian Nikotin untuk membantu perokok berhenti merokok menerusi Perkhidmatan Berhenti Merokok di England.

Mungkin inilah sebabnya seramai 41 peratus daripada bekas perokok dalam tinjau selidik ASH memilih vape untuk membantu mereka berhenti merokok.

Malah 20 peratus lagi berkata, mereka bertukar kepada vape supaya tidak kembali merokok.

Sementara itu, sebab utama yang diberikan oleh perokok sedia ada untuk menggunakan vape ialah untuk mengurangkan kekerapan merokok (24 peratus), membantu mereka berhenti merokok (14 peratus) dan untuk mencegah mereka merokok semula (14 peratus).

Satu perkara menarik ialah kira-kira 60 peratus daripada semua pengguna vape menganggap peningkatan tahap kesihatan sebagai sebab pertama mereka menghisap vape.

Penilaian yang dibuat oleh ASH menyokong bukti-bukti sebelum ini mengenai keberkesanan vape untuk membantu perokok mengatasi tabiat merokok.

Namun begitu, walaupun terdapat bukti yang semakin jelas bahawa vape merupakan alternatif yang sesuai bagi rokok, hakikatnya terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi.

Pakar-pakar kesihatan dan beberapa kajian yang mendapati ciri kurang kemudaratan penggunaan vape berbanding merokok bergantung pada pematuhan ketat kepada piawaian dan peraturan produk vape termasuk nikotin dalam e-cecair.

Di UK, terdapat peraturan untuk mengawal selia produk pengguna termasuk tidak membenarkan penjualan kepada remaja berusia di bawah 18 tahun, mengehadkan kadar nikotin dalam e-cecair, mengawal aktiviti pemasaran dan pembungkusan produk mesti sukar dibuka kanak-kanak dan mempunyai bukti pembungkusan tidak pernah diusik.

Peraturan ini sudah lama disarankan oleh peserta industri di Malaysia, dan langkah memperkenalkan cukai ke atas produk vape mulai 2021 jelas dilihat sebagai langkah pertama ke arah pengawalseliaan.

Bagaimanapun, rangka kerja peraturan hendaklah diperkenalkan dan merangkumi semua aspek industri, termasuk mengawal selia e-cecair yang mengandungi nikotin.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian