Mayat nelayan hilang ditemukan terapung

Mayat nelayan warga Myanmar yang hilang empat hari lalu ditemukan terapung oleh nelayan tempatan pada Jumaat. Foto: ihsan Maritim Perak.
Mayat nelayan warga Myanmar yang hilang empat hari lalu ditemukan terapung oleh nelayan tempatan pada Jumaat. Foto: ihsan Maritim Perak.
A
A
A

LUMUT - Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya karam dipercayai akibat berlanggar dengan sebuah kapal tongkang pasir pada Selasa ditemukan terapung pada kedudukan 17.9 batu nautika barat laut Pulau Talang di sini pada Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, mangsa merupakan warga Myanmar berusia 26 tahun itu dijumpai oleh nelayan tempatan kira-kira jam 2.20 petang.

“Mayat disyaki mangsa yang hilang dalam kejadian langgar sehingga menyebabkan bot itu tenggelam pada Selasa lepas.

“Majikan dan rakan yang membuat pengecaman mengesahkan mayat itu adalah mangsa yang dicari oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan komuniti maritim supaya mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan berikutan keadaan cuaca di laut kurang baik.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang awak-awak hilang selepas bot dinaiki bersama dua rakan lain karam akibat dilanggar sebuah kapal dagang di perairan Lumut.

Pelanggaran itu mengakibatkan bot nelayan dinaiki tiga awak-awak warga Myanmar itu tenggelam dan dua daripada mereka telah diselamatkan Maritim Lumut.

Artikel Berkaitan:

Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) digerakkan melibatkan agensi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) sebelum ditamatkan pada Khamis selepas gagal menemukan sebarang petunjuk.