Mayat nelayan ditemukan, abang masih hilang

Mayat salah seorang nelayan yang hilang ketika memukat udang di perairan Kuala Sala ditemukan tersangkut dalam lumpur paya bakau di kawasan Kuala Kangkung pada Selasa.
Mayat salah seorang nelayan yang hilang ketika memukat udang di perairan Kuala Sala ditemukan tersangkut dalam lumpur paya bakau di kawasan Kuala Kangkung pada Selasa.
A
A
A

KUALA KEDAH - Mayat salah seorang nelayan yang hilang selepas perahu dinaiki dipukul ribut di perairan Kuala Sala, dekat sini, ditemukan pada petang Selasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mayat Mohd Farizan Tajuddin, 41, ditemukan tersangkut dalam lumpur paya bakau di kawasan Kuala Kangkung di sini.

Noor Azreyanti berkata, sebelum itu, pangkalan hadapan Carilamat mendapat makluman daripada nelayan tempatan memaklumkan penemuan satu mayat pada jam 4.20 petang.

"Pada jam 5 petang, mayat terbabit disahkan sebagai Mohd Farizan oleh keluarga mangsa.

"Mayat nelayan terbabit kemudiannya dibawa keluar oleh anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta dibantu oleh penduduk tempatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, operasi mencari seorang lagi nelayan yang juga abang mangsa, Mohd Faudzi Tajuddin, 48, masih diteruskan dan dijangka berjalan hingga jam 7 petang.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua beradik dikhuatiri lemas ketika memukat udang selepas perahu yang dinaiki mereka dipukul ribut di perairan Kuala Sala, dekat sini, pada Selasa.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Faudzi Tajuddin, 48, dan adiknya, Mohd Farizan, 41, dikhuatiri hilang pada jam 4.45 pagi.