X

Kindly register in order to view this article
!

Ada adab santuni pesakit mental

Ahmad Fauwaz - FOTO ROSLI TALIB
A
A

SHAH ALAM - Penyakit mental merupakan himpunan penyakit nafsi yang berdiri di atas dua faktor iaitu ekonomi dan kezaliman.

Pendakwah, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor berkata, ia juga bukan penyakit yang berlaku sehari dua tapi sudah lama diperdebatkan terutama di negara Barat kerana banyak kes bunuh diri berlaku di sana akibat penyakit berkenaan.

Cuma di negara ini, katanya, isu berkaitan perkara tersebut baru sahaja dibahaskan akhir-akhir ini.

"Sebagai masyarakat, kita perlu meraikan pesakit-pesakit ini, malah ada adab untuk kita menyantuni mereka.

"Kita tidak boleh menghina mereka kerana mereka diuji dengan penyakit tersebut. Dalam al-Quran, walaupun ayat 195 yang turun dalam surah al-Baqarah itu dalam bentuk infak tetapi kata ulamak, ia merangkumi semua kerosakan termasuk harta, minda dan dalaman.

"Ulamak kata dengan ayat inilah diharamkan bunuh diri. Bunuh diri itu adalah satu pengharaman," katanya pada Wacana al-Quran siri ke-73 bertajuk 'Adakah Pesakit Mental Berbahaya' yang bersiaran secara langsung dari Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Turut menjadi panelis ialah pakar psikiatri dan Naib Presiden Scopurs Malaysia, Dr Nurul Syuhaida Abdul Razak.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak selaku moderator, manakala Qari, Abdul Khair Jalil memperdengarkan bacaan surah al-Baqarah ayat 195.

Dari kiri: Fazrul, Nurul Syuhaida, Ahmad Fauwaz dan Abdul Khair pada Wacana al-Quran siri ke-73 bertajuk 'Adakah Pesakit Mental Berbahaya' yang bersiaran secara langsung dari Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. - FOTO ROSLI TALIB
Dari kiri: Fazrul, Nurul Syuhaida, Ahmad Fauwaz dan Abdul Khair pada Wacana al-Quran siri ke-73 bertajuk 'Adakah Pesakit Mental Berbahaya' yang bersiaran secara langsung dari Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. - FOTO ROSLI TALIB

Sementara itu, Ahmad Fauwaz berkata, pendidikan atau maklumat berkaitan penyakit mental perlu didedahkan lebih awal khususnya di peringkat sekolah rendah.

"Kerajaan, doktor serta para pendidik perlu mengambil serius mengenai perkara ini. Saya melihat wajar ada satu subjek kemanusiaan diwujudkan di sekolah bagi mendidik anak-anak mengenai isu ini.

"Tak boleh tunggu sehingga mereka masuk universiti baru hendak didedahkan. Ia sudah terlewat," katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga diingatkan agar tidak merosakkan diri dengan melakukan perbuatan tidak berfaedah termasuk bunuh diri.

Katanya, semua orang menghadapi tekanan tersendiri terutama dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Sama ada kita ini jahat atau baik, belajar uruskan risiko kerana manusia ini sentiasa boleh diperbaiki.

"Jangan rosakkan diri kerana tidak kira sama ada kita berhutang, bankrap, bunuh orang, ada masalah, semuanya ada jalan atau kaedah untuk mengatasinya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!