Buang stigma negatif terhadap vaksin

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) menyarankan kerajaan mengadakan kempen kesedaran kepada rakyat di negeri ini yang akan menerima vaksin Covid-19 pada penghujung Februari depan.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, kempen tersebut boleh diadakan menerusi komuniti yang sedia ada.

“Kita sekarang ini mempunyai persatuan rukun tetangga atau kariah masjid. Mereka itu ada ketuanya.

“Kita mesti memperkasakan mereka dengan memberi maklumat yang tepat mengenai pemberian vaksin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Terdahulu, media melaporkan bahawa kajian klinikal fasa tiga vaksin Covid-19, SARS-CoV-2 dijangka dilaksanakan terhadap kumpulan pertama sukarelawan penghujung Januari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pihaknya telah menerima vaksin kajian pada 23 Januari lalu.

Pada 11 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Amrahi
Amrahi

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, perlu ada satu strategi bagaimana mahu menguruskan individu yang berasa sangsi untuk mengambil vaksin berkenaan.

“Apa sebabnya dia tidak mahu ambil. Benda macam itu kita boleh buat macam-macam untuk mengetahui sebab. Seperti membuat undian,” katanya.

Jelasnya, semua pihak seharusnya bersedia untuk menerima vaksin.

“Kita hendak berjuta orang mengambil vaksin itu,” katanya.

Amrahi turut mencadangkan agar diadakan rakan strategik antara pihaknya bersama Sinar Harian bagi menyalurkan maklumat berkenaan vaksin.

“Majoriti rakyat Malaysia ini adalah orang Islam dan kita nak mencapai mereka serta sampai mesej kepada mereka,” katanya.