X

Kindly register in order to view this article
!

Akibat terlalu percayakan ‘Najwa’

A
A

SEMALAM akhbar melaporkan seorang wanita di Lipis, Pahang kerugian RM81,133 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis kononnya mangsa perlu menjelaskan tunggakan cukai.

Sehari sebelumnya, seorang wanita di Melaka berusia 49 tahun dilaporkan ‘berputih mata’ selepas simpanan dan wang peninggalan keluarganya berjumlah RM2 juta lesap akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Beberapa hari sebelum itu seorang penuntut universiti awam di Kedah kerugian RM38,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Pos Malaysia berhubung bungkusan yang mengandungi beberapa Mykad dan kad mesin juruwang automatik (ATM) didakwa dikirim mangsa dari Kedah ke Negeri Sembilan.

Walaupun kes-kes penipuan melibatkan scammer ini sering dilaporkan di media massa, namun masalah ini seolah tiada kesudahan apabila masih ramai yang menjadi mangsa penipuan ini yang menggunakan pelbagai modus operandi.

Tiga jenis penipuan siber paling banyak ketika ini membabitkan penipuan telekomunikasi (termasuk Macau Scam), kes berkaitan pembelian dalam talian dan Love Scam (didalangi warga Afrika).

Penipuan mereka juga tidak mengenal mangsa sama ada individu profesional, kelas menengah, goloongan marhein mahupun warga tua.

Sindiket tersebut memperdaya mangsa melalui panggilan telefon dengan menyamar sebagai pegawai dan anggota pihak berkuasa hingga menyebabkan mangsa panik.

Mangsa seolah-olah terpukau, tidak berupaya berfikir secara waras ketika berdepan dengan pembohongan kumpulan berkenaan dan menurut sahaja kehendak si penipu untuk memindahkan wang ke akaun tertentu.

Kerugian mereka bukanlah melibatkan jumlah yang sedikit. Ada yang mencecah sehingga ratusan ribu atau jutaan ringgit seperti kes di Melaka yang disebut awal tadi.

Seringkali terfikir, daripada mana mangsa mempunyai wang sebanyak itu? Atau mungkin mereka terpaksa meminjam daripada saudara-mara atau meminjam daripada ah long.

Memang naya sungguh. Terasa kasihan dan simpati apabila setiap membaca berita mengenai mangsa penipuan ini. Tapi apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur.

Sepatutnya maklumkan kepada polis jika mendapat panggilan meragukan.Jangan layan panggilan mesin suara itu. Bila sudah panik, macam-macam boleh berlaku.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 5,218 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian sebanyak RM256 juta di negara ini sejak Januari hingga Oktober tahun lalu.

Jumlah kerugian mungkin lebih besar kerana ada segelintir mangsa penipuan tidak melaporkan kepada polis. Mungkin kerana jumlah yang ditipu tidak besar atau malas nak memperbesar-besarkan isu selepas menyedari ia berlaku kerana kesilapan sendiri.

Contohnya sahabat yang saya anggap sebagai abang, Hashim Anang sendiri pernah terkena dengan scammer ini. Kejadian berlaku tahun lepas. Kebetulan dia baru mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ceritanya, dia dihubungi oleh seorang individu yang mengaku dirinya ‘Najwa’ yang telah tersilap memberi nombor telefon ketika membeli barangan secara online dan perlukan nombor TAC (Transaction Authorisation Code) yang dihantar kepada Hashim.

Kebetulan ketika itu Hashim berada dalam sebuah majlis, jadi dia kurang fokus dan mengikut sahaja arahan ‘Najwa dan menyerahkan TAC seperti yang diminta.

Akibatnya, melayang duit dalam akaun. Termenung Hashim dibuatnya. Saya sendiri melihat riak wajahnya yang kecewa.

“Dalam berhati-hati pun scammer lahanat sudah bedal duit aku. Habis RM9,000 melayang,” katanya.Ingatlah, berhati-hati apabila menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya anggota polis, bank atau mana-mana agensi pihak berkuasa. Apabila mereka meminta nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank anda, hentikan terus panggilan berkenaan.

Jangan percaya dan sentiasa berwaspada walaupun panggilan itu daripada ‘Najwa’ yang kita rasa kita kenal!

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!