Pelantikan dipraktik sejak 1980-an

No Image Caption
A
A
A

PELANTIKAN pegawai keempat (P4) tempatan atau dari negeri yang sama dengan pasukan tuan rumah bagi perlawanan liga dan peringkat kumpulan untuk pertandingan piala telah diamalkan sejak 1980-an, kata Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusinya, Asisten Komisioner Md Dali Wahid berkata FAM akan melantik pegawai berkecuali sebagai P4 bagi perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir dan final untuk pertandingan piala.

Bagaimanapun dalam kes-kes tertentu perlawanan liga, Jawatankuasa Pengadil FAM berpendapat P4 boleh dilantik dalam kalangan pegawai berkecuali, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga menjelaskan prosedur pengendalian standard Liga Malaysia ialah pembantu pengadil 1 (AR1) akan mengambil alih tugas pengadil utama jika pengadil utama mengalami kecederaan manakala peranan AR1 akan diisi oleh P4.

Md Dali berkata demikian sebagai mengulas bantahan pasukan Kedah terhadap pelantikan P4, Abdul Halim Mohd Ramlan sebagai AR1 ketika aksi Liga Super di antara Perak dan Kedah di Stadium Perak, Ipoh, malam kelmarin.

Kedah membantah keputusan berkenaan memandangkan Abdul Halim berasal dari Perak.

AR1, Mohd Shahreen Omar mengambil alih tugas pengadil utama daripada Hamdan Awang yang mengalami kekejangan otot ketika perlawanan berkenaan memasuki minit ke-60.

Perak dan Kedah seri 1-1 pada perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Md Dali juga berkata kecederaan yang dialami pengadil merupakan kes terpencil yang jarang berlaku.

“Justeru, tidak boleh dibuat kesimpulan bahawa pengadil yang dipilih FAM ini tidak cergas kerana kesemua mereka yang ditugaskan untuk mengadili perlawanan Liga Super dan Liga Premier ini perlu melepasi ujian kecergasan yang ditetapkan,” tegasnya. - Bernama