Pokok limau 'hadiah' dari China dirampas

Hasil siasatan mendapati tujuan pokok limau ini dibawa masuk ke Malaysia adalah untuk pemberian hadiah sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Hasil siasatan mendapati tujuan pokok limau ini dibawa masuk ke Malaysia adalah untuk pemberian hadiah sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Cubaan menyeludup masuk pokok limau dari negara China di Pelabuhan Barat di sini berjaya dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor Sabtu lalu.

Pengarah Maqis negeri Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan sepasukan pegawainya pada jam 11.30 pagi itu mendapati sebanyak 40 pokok limau dari negara China yang dianggarkan bernilai RM680 itu ditahan kerana tiada permit import sah yang dikeluarkan Maqis selain tiada sijil fitosanitasi dari negara asal.

Menurutnya, pokok limau tersebut diletakkan bersama dengan pokok bunga kering yang mempunyai permit yang sah bagi mengelirukan pegawai yang bertugas.

"Hasil siasatan mendapati tujuan pokok limau ini dibawa masuk ke Malaysia adalah untuk pemberian hadiah sempena perayaan Tahun Baharu Cina nanti.

"Kesemua pokok limau tersebut akan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai yang sudah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Tarmisal berkata, penahanan keluaran pertanian itu adalah bagi mengekang kemasukan serangga perosak kerana sekiranya ia terlepas, haiwan perosak itu boleh menyebabkan industri pertanian negara terjejas.

Jelasnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Sekyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama.

"Pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan: