Pokok eucalyptus dari China hidup subur di Kelantan

Mohd Amar bergambar dengan pokok eucalyptus di di Hutan Simpan Sungai Betis, Pos Brooke. - Foto Facebook Dato' Nik Amar
Mohd Amar bergambar dengan pokok eucalyptus di di Hutan Simpan Sungai Betis, Pos Brooke. - Foto Facebook Dato' Nik Amar
A
A
A

PASIR PUTEH - Pokok eucalyptus yang ditanam di Hutan Simpan Sungai Betis Pos Brooke, Gua Musang hidup subur selepas ditanam tiga tahun lalu.

Pokok yang diambil benih dari Naning, China itu ditanam seluas 20 hektar bagi mengurangkan kebergantungan kepada balak yang sudah ditebang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini pokok berkenaan bukan untuk dijual tetapi percubaan untuk melihat masalah dan keberkesanannya terhadap tanah serta pokok lain.

"Sebelum ini ada yang mendakwa pokok eucalyptus menyerap lebih banyak air tetapi setakat tiga tahun penanaman, tiada kesan negatif malah pokok lain tumbuh subur di persekitarannya," katanya.

Mohd Amar menanam pokok cengal sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-52 Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Isnin.
Mohd Amar menanam pokok cengal sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-52 Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antabangsa ke-52 Peringkat Negeri Kelantan 2023 di sini pada Isnin.

Menurut Amar, keberkesanan tanaman itu menarik beberapa syarikat perkayuan menanam sendiri pokok berkenaan sehingga mencapai keluasan 400 hektar.

Bagaimanapun katanya, jumlah pokok yang ditanam dalam kawasan seluas satu hektar bergantung kepada spesiesnya.

"Ada spesies yang boleh mencapai 1,000 perhektar dan istimewanya ia boleh tumbuh semula sehingga lima kali ditebang," katanya.

Tambah beliau, pokok ini lebih cepat membesar daripada pokok lain dan boleh ditebang dalam tempoh tujuh tahun berbanding 25 tahun pokok balak biasa.

"Modalnya juga kecil iaitu kira-kira RM10,000 untuk 0.4 hektar dan hasilnya boleh mencapai sehingga RM30,000," katanya.

Beliau memberitahu, ada beberapa spesies lain yang boleh dipromosikan iaitu pokok kembang semangkuk dan kayu machang yang turut mendapat perhatian di luar negara.