RM356 juta diperlukan baiki kerosakan infrastruktur akibat banjir

Laporan Sinar Harian pada 3 Januari lalu berhubung kejadian tanah runtuh di jalan lama Bentong-Raub, Pahang berpunca akibat hujan lebat.
Laporan Sinar Harian pada 3 Januari lalu berhubung kejadian tanah runtuh di jalan lama Bentong-Raub, Pahang berpunca akibat hujan lebat.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang menganggarkan sebanyak RM356 juta diperlukan bagi membaik pulih semua jalan dan jambatan yang rosak akibat banjir yang melanda negeri itu selama lebih dua minggu bermula 3 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, secara keseluruhannya, 368 lokasi kerosakan melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri dan jambatan telah dikenal pasti dengan Temerloh dan Maran merupakan daerah yang paling teruk terjejas.

"Buat masa ini, permohonan peruntukan telah dibuat oleh JKR Pahang melalui Cawangan Senggara Fasiliti Jalan kepada ibu pejabat mereka dan kerja baik pulih akan dilaksanakan melalui proses sebut harga, tender dan arahan kerja kepada pihak konsesi,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kerja-kerja baik pulih dijangka mengambil masa dua hingga 18 bulan bergantung pada jenis, saiz dan bentuk kerosakan.

Menurutnya, proses baik pulih infrastruktur juga tidak akan terhalang oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kerja pembinaan atas faktor keselamatan dibenarkan beroperasi.

Mengulas penggunaan jambatan keluli atau jambatan Bailey di Kampung Lechar, Raub kira-kira 231 kilometer (km) dari sini dan Jalan Belimbing di Maran, 67 km dari sini, Norolazali berkata, usaha bagi membina semula jambatan asal yang runtuh akibat banjir sedang dilakukan.

"Saya difahamkan kerja reka bentuk sedang dijalankan, diikuti kerja pembaikan dan kita akan memohon kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar berhubung kos terlibat," katanya.

Mengenai penutupan Jalan Raub-Bukit Fraser sejak 14 Januari lalu, Norolazali berkata, kerja pembersihan dan baik pulih laluan berkenaan sedang giat dijalankan dan berharap jalan dapat dibuka semula selepas PKP tamat.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed dilaporkan berkata, laluan itu ditutup kepada semua pengguna jalan raya atas faktor keselamatan kerana terdapat beberapa lokasi berisiko runtuh selain terdapat kesan runtuhan yang belum dibersihkan sepenuhnya. - Bernama