13 ahli sindiket dadah terbesar di Johor didakwa di mahkamah esok

Ayob Khan menunjukkan gambar ahli sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa.
Ayob Khan menunjukkan gambar ahli sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 13 ahli sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar di negara ini termasuk ketua sindiket bersama teman wanitanya akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pada Selasa.

Ketua Polis Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia antara 17 daan 62 tahun itu ditahan dalam 23 serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor dari 8 hingga 17 Januari lalu. Mereka ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua kertas siasatan telah dirujuk kepada Pendakwaan Negeri Johor (Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor) untuk pertuduhan. Seramai lapan orang akan dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup yang boleh juga dikenakan sebatan jika disabit kesalahan.

"Lima suspek pula akan dituduh mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985. Jika disabit kesalahan boleh ditahan di pusat pemulihan akhlak selama dua tahun dan perintah sekatan," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini pada Isnin.

Tambah Ayob Khan, polis kini masih giat mengesan suspek yang masih bebas dalam sindiket itu untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

"Terdapat soalan dikemukakan orang awam berkenaan tindakan polis selepas operasi besar- besaran yang diadakan. Ada yang memberi komen, ada tangkapan tetapi tiada pertuduhan.

"Justeru, saya kongsi maklumat ini kepada media supaya hebahan umum dibuat bahawa polis bukan sahaja menjalankan operasi, tangkapan dan rampasan tetapi kita akan pastikan mereka dituduh (didakwa di mahkamah)," katanya.

Terdahulu, Polis Johor dalam sidang akhbar sebelum ini mendedahkan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM327 juta di sekitar Johor Bahru daripada sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar di Malaysia, selain membongkar lima stor penyimpanan dadah serta makmal memproses dadah.

Artikel Berkaitan: