X

Kindly register in order to view this article
!

Gajah sudah kurang berkeliaran di kawasan kampung

Tinjauan dron dilakukan pihak Perhilitan Johor merakamkan hanya enam ekor gajah masih berkeliaran dan sedang mencari makan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Lukut, Kahang, Kluang pada petang Ahad.
A
A

KLUANG - Bilangan gajah yang berada di kawasan Kampung Sri Lukut, Kahang dekat sini semakin berkurangan selepas banjir surut.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, sebelum ini lebih 50 ekor gajah yang terperangkap di ladang kelapa sawit di kampung itu tidak dapat bergerak kerana banjir.

Katanya, kumpulan gajah itu yang sedang menuju ke habitat asal di Hutan Lenggor terperangkap selama kira-kira seminggu kerana tidak dapat merentasi Sungai Kahang yang dinaiki air.

"Menerusi tinjauan pihak Perhilitan petang semalam (Ahad) menggunakan dron, kita dapat mengesan hanya tinggal enam ekor gajah di kawasan itu. Dua gajah dewasa manakala empat lagi gajah saiz sederhana.

"Kita dapati lebih 50 ekor gajah yang bergerak dalam satu kumpulan sebelum ini sudah berpecah kepada beberapa kumpulan kecil dan dipercayai sudah masuk semula ke Hutan Lenggor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini kira-kira 50 ekor gajah secara berkumpulan muncul di Kampung Contoh, Kampung Batu 28, Kampung Sri Lukut dan Kampung Pinggir serta menjadi tular hingga membimbangkan penduduk setempat.

Terdapat gajah yang bukan sahaja masuk ke kawasan ladang kelapa sawit tetapi kebun selain melintas di hadapan rumah penduduk.

Mengulas lanjut, Salman berkata, banjir menjadi faktor gajah berkenaan keluar dari hutan tetapi haiwan itu juga keluar pada masa tertentu untuk mencari makan di kawasan berdekatan.

"Gajah ini sudah biasa mencari makan di kawasan ladang kelapa sawit di kampung-kampung berdekatan, malah ada anak gajah yang lahir dalam ladang kelapa sawit, jadi mamalia ini sudah biasa dengan persekitaran pokok kelapa sawit.

"Ada penduduk kampung yang sudah biasa melihat gajah masuk kampung mereka. Gajah ini mencari makanan terutama pokok-pokok sawit yang masih kecil, mamalia ini makan pucuk dan umbut kelapa sawit. Kadang-kadang merosakkan tanaman," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Orang Asli Punjut, Linjit Abdul Rahman berkata, kehadiran tetamu tidak diundang itu menyebabkan tanaman penduduk seperti pisang, ubi dan kelapa sawit dimakan gajah.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku meskipun kumpulan gajah berkenaan turut memasuki sehingga kawasan rumah penduduk.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!