Kemudahan internet luar bandar perlu dipertingkatkan

Asril Ariff
Asril Ariff
A
A
A

ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menyarankan kerajaan menambah baik fasiliti internet dalam negara terutama di kawasan luar bandar bagi memudahkan pelajar mengakses kemudahan itu.

Pengerusi GPMS negeri Kedah, Asril Ariff Abdul Malik berkata, masalah itu antara faktor proses pembelajaran terganggu terutama bagi pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ramai pelajar yang mendapat manfaat daripada pemberian data percuma 1GB khususnya golongan B40.

"GPMS Kedah turut menyokong usaha berkenaan yang mampu menangani masalah keciciran pelajar ketika Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) di rumah.

"Bagaimanapun, penambahbaikan fasiliti internet juga perlu diberi perhatian supaya proses pembelajaran mereka berjalan lancar," katanya menerusi suatu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, selain itu, GPMS Kedah mencadangkan kerajaan menambah baik sistem PdPR dengan melaksanakan pembelajaran secara hybrid seperti yang diperkenalkan kepada mahasiswa di universiti.

"Ini kerana, pelaksanaan pembelajaran secara hybrid amat sesuai dengan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita masih belum tahu bila akan berakhir.

"Tambahan pula, dengan pelaksanaan sistem ini pelajar termasuk guru tidak perlu bergantung kepada kelas dalam talian semata-mata, proses pembelajaran secara bersemuka juga akan dijalankan mengikut masa yang sesuai. Ini amat membantu masalah keciciran pelajar dalam mengikuti sesi persekolahan 2021," katanya.

Artikel Berkaitan: