Lari tinggal 713kg daun ketum dalam belukar

713kg daun ketum yang dirampas berhampiran Jalan Keselamatan Padang Besar pada Ahad. -FOTO BRIGED UTARA PGA
713kg daun ketum yang dirampas berhampiran Jalan Keselamatan Padang Besar pada Ahad. -FOTO BRIGED UTARA PGA
A
A
A

PADANG BESAR - Sekumpulan lelaki bertindak meninggalkan 713 kilogram (kg) daun ketum di kawasan belukar sebelum melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan keselamatan berhampiran Jalan Keselamatan Padang Besar dekat sini pada Ahad.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, pasukan rondaan melihat sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan belukar berhampiran sebelum mereka melarikan diri.

Menurutnya, hasil siasatan, pasukan rondaan menemui 23 guni warna putih yang dibaluti plastik hitam disembunyikan di dalam belukar.

"Siasatan lanjut mendapati guni itu mengandungi daun hijau yang dibaluti plastik lutsinar disyaki daun ketum.

"Guni berisi daun ketum yang dianggarkan bernilai RM21,390 tersebut telah dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Abdul Ghani berkata, kejayaan ini hasil maklumat awal yang diterima pihaknya dalam Op Benteng Covid.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan pada Jumaat lalu, pasukan rondaan Op Benteng Covid (Bersepadu) telah berjaya merampas 400kg daun ketum yang ditinggalkan dalam sebuah kereta Proton di Jalan Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis pada jam 2.15 pagi.

Katanya, enam anggota risik Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kuala Perlis, empat anggota Risik Marin Wilayah 1 Kuala Kedah dan tiga anggota Risik Batalion 18 PGA telah menunggu dan membuat pemerhatian ke atas kenderaan tersebut selama lebih kurang satu jam, namun tiada sesiapa yang menghampiri kenderaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Semua barang kes melibatkan daun ketum bernilai RM12,000 dan kereta tersebut bernilai RM35,000 telah dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut," katanya.