Kempen desak mansuh akta zalim sebelum Dewan Rakyat bersidang

No Image Caption
A
A
A
PETALING JAYA - Pimpinan PH kini melancarkan kempen agresif supaya kerajaan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 dan undang-undang zalim lain yang dilihat tidak telus bagi memberi keadilan kepada semua rakyat.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, gerakan kempen ini menuntut Ahli-ahli Parlimen dan menteri sedar akan keperluan menghapuskan akta-akta tersebut.

"Kita perlu meningkatkan kempen bagi mansuhkan akta Sosma dan kita tak boleh tunggu sehingga Mac depan, kerana bila Mac keputusan mungkin sudah dibuat oleh menteri dan barisan Kabinet.

"Saya juga rasa kita perlu hantar memorandum atau buat satu kempen yang mana semua Ahli Parlimen dapat memo ini supaya mereka semua faham mengapa kita perlu mansuhkan Sosma dan ia perlu dibuat sebelum Mac ini," katanya.

Beliau yang juga bekas tahanan akta Sosma berkata demikian dalam satu Forum Sosma: Siapa pengganas dan Potensi Salah Guna Kuasa di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, hari ini yang turut dihadiri Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Bersih 2.0 itu juga menawarkan diri untuk bekerjasama dengan gabungan mansuhkan Sosma.

"Kempen mansuh akta zalim ini tindakan yang saya sendiri bekerjasama dengan NGO, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) telah merangka strategi supaya kita boleh beri lebih tekanan kepada kerajaan agar mereka tunaikan janji mereka," katanya.

Bagaimanapun, peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam menuntut kerajaan PH dalam isu pemansuhan akta Sosma.

Kata Syahredzan, jika janji PH yang dituntut itu dibuat berdasarkan apa yang terdapat dalam Buku Harapan, kerajaan telah pun menunaikannya.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, dalam buku Harapan itu sebenarnya ia tak kata dia nak mansuhkan Sosma. Buku manifesto itu tak cakap akan mansuhkan peruntukan-peruntukan zalim yang ada dalam akta Sosma.

"Jadi, berhati-hati sedikit apabila kita nak tuntut janji ini, sebab mereka akan kata kalau betul ikut janji kita sudah pinda peruntukan-peruntukan yang zalim dalam Sosma.

"Maknanya, kita dah tunaikan janji itu, apa yang kita perlu tuntut bukan janji itu tetapi kita kena tuntut mansuhkan akta itu secara total," tegasnya.

Terdahulu Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memansuhkan Sosma kerana rakyat berhak untuk dilindungi oleh undang-undang yang adil dan bukannya bersifat zalim kepada rakyat seperti yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Manakala keputusan penuh berhubung akta Sosma akan dibuat pada sidang Dewan Rakyat yang akan mula bersidang Mac ini.