X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Penjara Jelebu, kuarters dilanjutkan: Ismail Sabri

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok Transit (Blok Muhasabah) di Penjara Jelebu, Negeri Sembilan yang tamat esok (24 Januari) dilanjutkan hingga 7 Februari depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di kawasan lain di Penjara Jelebu dan kuarters kakitangan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan tamat esok seperti dijadualkan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 49 kes aktif masih dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) manakala 69 orang (kontak rapat) yang masih dalam tempoh Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sedang ditempatkan di Blok Transit (Blok Muhasabah)," menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ahad.

Beliau berkata PKPD sebelum ini dilaksanakan di seluruh kawasan Penjara Jelebu serta kuarters kakitangan Penjara Jelebu di Negeri Sembilan dan dijadualkan tamat pada 24 Januari.

Sehingga kini, KKM melaksanakan 2,775 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 908 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Ismail Sabri juga berkata PKPD di Pusat Koreksional Johor Bahru dan kuarters kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru akan tamat esok seperti dijadualkan.

PKPD di Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2 di Senai, Johor, yang dijadualkan tamat pada 29 Jan, ditamatkan hari ini iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan ekoran kes positif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi sampel yang menunggu keputusan.

Mengenai tangkapan individu yang ingkar PKP, Ismail Sabri berkata seramai 504 orang ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dan daripada jumlah itu, 494 dikompaun manakala 10 lagi direman.

Katanya kesalahan tidak memakai pelitup muka merekodkan kes tertinggi melibatkan 145 individu diikuti kegagalan menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (92), tiada penjarakan fizikal (77), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (60), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (37) dan lain-lain (93).

Beliau berkata seramai 41 pendatang tanpa izin ditangkap dalam Op Benteng semalam manakala dua bot serta tiga kenderaan darat dirampas.

Ismail Sabri juga berkata anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang membuat pemeriksaan di 35 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara mendapati kesemuanya mematuhi SOP.

Mengenai pekerja asing, beliau berkata berdasarkan maklumat Kementerian Sumber Manusia, seramai 7,993 orang telah menjalani ujian saringan Covid-19 pada Jumaat dan daripada jumlah itu, 203 orang disahkan positif.

Katanya secara kumulatif, seramai 198,422 pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 7,790 majikan.

Ismail Sabri berkata daripada jumlah keseluruhan warga asing yang menjalani saringan, seramai 3,942 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala 194,480 lagi adalah negatif. Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!