Vaksin Pfizer BioNTech: Media Israel beri gambaran salah

Percanggahan maklumat media tempatan Israel berhubung vaksin Pfizer BioNTech baru-baru ini boleh memberikan gambaran salah. - Foto Agensi
Percanggahan maklumat media tempatan Israel berhubung vaksin Pfizer BioNTech baru-baru ini boleh memberikan gambaran salah. - Foto Agensi
A
A
A

SHAH ALAM - Percanggahan maklumat media tempatan Israel berhubung vaksin Pfizer BioNTech baru-baru ini boleh memberikan gambaran salah kepada orang ramai berhubung keberkesanan vaksin tersebut.

Sebelum ini, media tempatan Israel melaporkan lebih daripada 12,400 orang di negara itu didapati positif Covid-19 selepas diberi vaksin Pfizer BioNTech.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Kalaiarasu M Peariasamy berkata, kenyataan itu mudah disalah tafsir oleh orang ramai kerana satu dos vaksin Pfizer BioNtech seperti diketahui hanya memberikan perlindungan separa, manakala dos kedua memberikan perlindungan yang hampir 95 peratus.

Beliau menjelaskan, perlindungan separa bermakna seseorang masih mempunyai peluang 50 peratus untuk mendapat Covid-19 sejurus sebelum atau selepas menerima suntikan pertama.

Malah, katanya, data klinikal juga menunjukkan bahawa sistem imun mengambil antara enam hingga lapan minggu untuk menghasilkan antibodi yang cukup terhadap Covid-19.

"Oleh itu, seseorang itu tidak mempunyai imuniti maksima terhadap Covid-19 berikutan dos pertama dan ada kemungkinan seseorang itu boleh dijangkiti virus sama tetapi bergejala rendah.

"Walaupun vaksin mungkin tidak 100 peratus berkesan melawan Covid-19, risiko jangkitan akan terus berkurangan apabila lebih ramai orang dalam komuniti mendapat vaksin," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 12,400 penerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech masih dijangkiti

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, media tempatan Israel melaporkan lebih daripada 12,400 orang di Israel didapati positif Covid-19 selepas diberi vaksin Pfizer BioNTech dan ia termasuk 69 yang telah menerima suntikan dos kedua mereka.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Israel kemudian mengeluarkan kenyataan berbeza mendakwa berlaku penurunan dalam kes baharu iaitu 4,430 kes baharu pada Jumaat berbanding 10,058 kes pada 18 Januari lalu.

Ia selepas tempoh empat minggu vaksinasi dimulakan di mana hampir 2.2 juta rakyat Israel menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech termasuk 550,000 yang telah diberi dos kedua mereka.

Penurunan itu termasuk bilangan pesakit yang sakit serius dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Sementara itu, mengulas lanjut berhubung vaksin Covid-19 itu, Dr Kalaiarasu turut mengingatkan orang ramai agar tidak boleh meringankan panduan keselamatan Covid-19 walaupun selepas diberi vaksin untuk wabak tersebut.

"Amat penting untuk kita terus memakai pelitup muka serta mengekalkan jarak sosial walaupun telah menerima vaksin sehinggalah negara mencapai imuniti kawanan," katanya.