Perketat pelaksanaan saringan Covid-19 pekerja kilang

Kerajaan Pulau Pinang mahu pelaksanaan saringan terhadap pekerja kilang warganegara serta bukan warganegara diperketatkan.
Kerajaan Pulau Pinang mahu pelaksanaan saringan terhadap pekerja kilang warganegara serta bukan warganegara diperketatkan.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mahu pelaksanaan saringan terhadap pekerja kilang warganegara serta bukan warganegara diperketatkan supaya tindakan pengesanan kontak dan rawatan dapat dilaksanakan bagi memutuskan rangkaian jangkitan pandemik Covid-19 dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 20 Januari lalu menunjukkan hanya 19,792 pekerja asing daripada 128,889 telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Oleh demikian, beliau meminta agar tindakan proaktif perlu diambil pada ketika ini.

"Sehingga 7 Disember tahun lalu, hanya 19,792 warga asing telah menjalani ujian saringan yang mana, jumlah yang berdaftar di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 7 Disember 2020 di Pulau Pinang adalah 128,889 orang.

"Sementara itu, pada tempoh masa sama juga, seramai 13,336 pekerja asing telah disaring hasil inisiatif majikan sendiri menjadikan jumlah yang telah disaring kini adalah 33,128 orang. Ini menjadikan kadar positiviti mencapai 3.22 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow

Tambahnya, mengikut data JKNPP, peratusan pecahan kes mengikut sektor pekerjaan menunjukkan 49 peratus adalah terdiri daripada pekerja kilang dan industri, 3 peratus pekerja tapak binaan dan lain-lain pekerjaan serta tidak bekerja, 30 peratus.

Kon Yeow juga mahu kerajaan Persekutuan yang diberi kuasa melaksanakan darurat supaya dapat meningkatkan sumber aset dan tenaga bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan rakyat Pulau Pinang secara lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang meluluskan pakej bantuan kewangan ketiga berjumlah RM20 juta bagi menghadapi cabaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada 13 Januari.

Tahun lalu, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM151 juta kepada individu, perniagaan dan organisasi yang terjejas.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang meluluskan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 berjumlah RM76 juta bagi memperkukuhkan ekonomi negeri selepas pelaksanaan PKP.