X

Kindly register in order to view this article
!

Perkara 14, 15 dalam Ordinan Darurat 2021 perlu diteliti

Muhamad Nadzri
A
A

SHAH ALAM – Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan oleh kerajaan berkuat kuasa pada 11 Januari lalu adalah sah di sisi undang-undang.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor bagaimanapun berkata, terdapat beberapa peruntukan di dalam Ordinan Darurat yang diwartakan itu terutamanya Perkara 14 dan 15 perlu diteliti dengan sebaiknya.

“Ini kerana kita tidak mahu ada persepsi bahawa kerajaan semasa ini mengamalkan 'rule by law' (peraturan mengikut undang-undang) sedangkan banyak juga negara lain melakukan darurat.

“Tapi mereka tidak menggantung kongres mereka seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom (juga) tidak menggantung Parlimen mereka malah pada hari ini ada terma bersidang dari jarak jauh,” katanya pada Wacana al-Quran Siri ke-70 bertajuk Darurat: Mandat Buat Rakyat? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat.

Program itu turut menampilkan Penyandang Kursi, Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Shamrahayu Ab Aziz sebagai panelis; Ketua Penyelidik Yayasan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan Qari My #Qurantime, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang memperdengarkan bacaan surah Yusuf ayat 47-49.

Dari kiri: Fazrul, Muhamad Nadzri, Shamrahayu dan Ahmad Tarmizi pada Wacana al-Quran Siri ke-70 bertajuk Darurat: Mandat Buat Rakyat? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat.
Dari kiri: Fazrul, Muhamad Nadzri, Shamrahayu dan Ahmad Tarmizi pada Wacana al-Quran Siri ke-70 bertajuk Darurat: Mandat Buat Rakyat? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat.

Perkara 14 dan 15 dalam Ordinan Darurat yang diwartakan melibatkan memanggil, memprorog dan membubarkan persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Media sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuat kuasa mulai 11 Januari 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Ordinan setebal 12 muka surat yang mengandungi 18 perkara itu telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, ordinan itu antara lain memperuntukkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam persekutuan berikutan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Muhamad Nadzri menyifatkan apa yang diwartakan dalam Ordinan Darurat itu dilihat kurang konsisten dengan apa yang diisytiharkan sebelum ini.

“Apa yang ada di situ (Ordinan Darurat) terlalu asas untuk kita tidak teliti dengan sebaiknya,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!