KPLB sedia kaji semula dasar, fungsi agensi

Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedia mengkaji semula dasar, fungsi dan tadbir urus sedia ada termasuk agensinya sejajar dengan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, tindakan itu bagi membolehkan peranan diperluaskan seiring dengan perubahan ekonomi dan teknologi semasa negara.

"Sebagai contoh dasar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) perlu dikaji semula dengan mengambil kira sudut fungsinya terutama dalam membangunkan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar," katanya.

Menurutnya, dalam OACP terdapat 18 inisiatif digariskan dan akan dilaksanakan oleh pelbagai bahagian berdasarkan bidang keutamaan masing-masing bagi mencapai visi ‘KPLB Sejahtera Tanpa Rasuah’.

"Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin kementerian ini akan dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, membina ketelusan

dan menjamin akauntabiliti dalam pentadbiran, perolehan awam dan tadbir urus korporat," katanya dalam Amanat Tahun Baru KPLB yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook kementerian itu pada Jumaat.

Beliau berkata, KPLB dan agensi perlu memberi penekanan kepada outcome (hasil) bukannya output (pengeluaran).

"Kita perlu mengkaji semua prosedur operasi standard (SOP) dan kaedah pelaksanaan program supaya lebih efektif dan berbaloi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Abdul Latiff berkata, setiap program dan projek dilaksanakan hendaklah 'sustain' dan tindakan susulan perlu dilaksanakan.

"KPLB boleh mendapatkan pandangan serta perkongsian pengalaman dan kaedah yang dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang benar-benar terlibat secara berterusan dalam melaksanakan projek komuniti di negara ini bagi membantu menambah baik proses kerja," katanya.

Tambahnya, penyelarasan senarai projek antara KPLB dengan kerajaan negeri perlu dimantapkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek dan mengelakkan pertindihan.

Dalam Amanat itu beliau berkata warga KPLB dan agensi perlu menguasai kemahiran digital dan mengadaptasi penggunaan teknologi digital dalam pelaksanaan tugasan harian.

"Ini bagi memastikan kelancaran proses kerja sesuai dengan perkembangan pada masa ini yang menekankan penggunaan teknologi digital dalam tugasan seharian," katanya.

Bagi menyokong usaha itu, Pelan Komunikasi Strategik perlu dibangunkan untuk memastikan semua pihak mendapat maklumat dan kefahaman yang jelas terhadap pelaksanaan inisiatif KPLB dan seterusnya memberikan impak yang tinggi kepada golongan sasaran.

"Strategi komunikasi yang efektif adalah penting untuk menguar-uar dan menjelaskan rasional keputusan, dasar kerajaan dan kejayaan yang telah dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

"Dalam hal ini, saya menyeru supaya Unit Komunikasi Korporat KPLB dan juga agensi memainkan peranan aktif dalam perkongsian maklumat melalui gambar, info grafik dan video di laman web dan media sosial masing-masing. Maklumat penting seperti permohonan bantuan atau program perlu dimuat naik secara berkala supaya diketahui umum," kata beliau.