Kaji semula pembatalan dasar pelantikan tetap kakitangan kontrak

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mempertimbangkan semula keputusan pembatalan serta merta dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia kerana keputusan berkenaan memberi gambaran bahawa kerajaan Selangor tidak cakna dengan kebajikan penjawat awam.

"Cuepacs kecewa dan kesal dengan tindakan kerajaan Selangor yang membatalkan dengan serta merta dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun seperti yang telah diputuskan sebelum ini.

"Lebih mengecewakan apabila kerajaan Selangor turut memanjangkan pembatalan tersebut kepada semua pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri berkuat kuasa serta merta," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Adnan menjelaskan, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini telah memutuskan bahawa pegawai lantikan secara kontrak perkhidmatan ('contract of service') yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun boleh dilantik secara tetap mulai 1 Julai 2016 tertakluk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Perkara ini telah disambut baik oleh semua kementerian dan kerajaan negeri dan ia telah diguna pakai sebagai panduan dalam urusan untuk melantik kakitangan kontrak kepada jawatan tetap.

"Dalam hal ini Cuepacs difahamkan bahawa kerajaan Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 20 Julai 2016 telah bersetuju untuk mengguna pakai surat edaran JPA berhubung panduan pengambilan pegawai lantikan kontrak untuk tujuan pelantikan tetap," ujarnya.

Justeru, Adnan berkata, keputusan drastik kerajaan Selangor itu amat mendukacitakan Cuepacs dan seluruh warga perkhidmatan awam di negeri tersebut.

Menurutnya, keputusan yang dibuat itu seakan-akan tidak menghargai langsung segala sumbangan kakitangan kontrak yang telah bertungkus lumus selama ini.

"Agak malang bagi penjawat awam di Selangor ini apabila telah berkhidmat lebih daripada 15 tahun tetapi hanya layak diberi jawatan secara kontrak sahaja.

"Tiada langsung penghargaan yang layak diterima walaupun telah bertugas lebih daripada 15 tahun," ujarnya.

Dalam pada itu, Cuepacs mendesak kerajaan untuk menyerap pekerja program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) ke jawatan 'contract of service' berbanding terus menawarkan pekerja terbabit dengan skim sama secara berulang-ulang melebihi setahun.

"Cuepacs dimaklumkan terdapat jabatan kerajaan yang menggunakan kakitangan MySTEP untuk tugas yang sama lebih daripada setahun.

"Pengambilan pekerja MySTEP sebenarnya dibuka bagi menyediakan peluang pekerjaan jangka pendek sahaja. Sekiranya jawatan MySTEP ditawarkan untuk tempoh lebih daripada setahun, ia membawa maksud bahawa tugas tersebut perlu diisi dengan kakitangan dalam kalangan 'contract of service'," jelasnya.

Adnan menambah, situasi tersebut menggambarkan kelemahan ketua jabatan dalam menilai keperluan perjawatan di jabatan masing-masing selain bersifat mengambil kesempatan ke atas pekerja MySTEP.

"Pekerja MySTEP ini dibayar dengan gaji tanpa sebarang elaun tambahan dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan walaupun dikerah sama seperti pekerja 'contract of service'.

"Lebih malang lagi ada pekerja yang telah berada dalam skim Contract of Service telah ditukarkan kepada lantikan MySTEP," ujar beliau.