X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan sisihkan pesakit Covid-19: Zulkifli

Tangkap layar Twitter Zulkifli yang berkongsi pengalaman ketika bertemu dengan pesakit dan petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - "Saya faham perasaan mereka kerana pernah berada dalam situasi mereka. Kita tidak mahu pesakit Covid-19 terasa disisih dan tertekan."

Begitulah kata-kata daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selepas bertemu dengan pesakit dan petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Khamis.

Beliau juga meluahkan rasa sebak dan sayu tatkala melihat dengan jelas keletihan di raut wajah para petugas.

Bagaimanapun mereka tetap gembira apabila Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyediakan makanan sedia untuk dimakan (RTE) kepada semua 1,629 petugas.

Menerusi perkongsian dimuat naik di Twitter miliknya, beliau juga memberi kata-kata motivasi kepada para pesakit Covid-19.

Zulkifli berkata, sentiasa bersangka baik kepada ALLAH SWT dan berfikiran positif.

"Saya nasihatkan mereka untuk penuhi masa lapang dengan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan membaca.

"Ujian paling besar adalah apabila kita ditimpa musibah seperti ini dan perkara pertama sebagai seorang Islam kita hendaklah sentiasa menginsafi diri, menggunakan masa sebaik mungkin serta meningkatkan kesabaran kepada ALLAH SWT," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli juga berkongsi pengalamannya ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selepas disahkan positif Covid-19 pada 4 Oktober tahun lalu.

Beliau memaklumkan tempoh rawatan 11 hari itu dibahagikan dan dimanfaat dengan sebaik mungkin.

"Sepanjang dirawat di hospital saya sempat menyiapkan sebuah buku mengenai pengalaman diserang Covid-19 bertajuk 'Hari-Hari Tarbiah Dalam Hidupku', menjaga solat dan khatam al-Quran sekali," katanya.

Walaupun pertemuan itu singkat dan dipisahkan dinding kaca, Zulkifli berasa seronok dapat bertemu pesakit.

"Kalau boleh saya mahu berada lebih lama bersama mereka, namun disebabkan kekangan masa terpaksa melupakan hasrat itu.

"InsyaALLAH saya akan sumbang lagi bahan bacaan untuk para pesakit di sini. Saya sayang mereka semua.

"Terus patuhi SOP di mana-mana sahaja kita berada. Banyakkan berdoa moga ALLAH SWT terus memelihara Malaysia," katanya.

Sementara itu, ketika lawatan, beliau turut menyampaikan bantuan makanan iaitu roti canai sejuk beku, biskut dan minuman kepada petugas barisan hadapan termasuk buku 'Hari-Hari Tarbiah Hidupku' sebagai panduan kepada pesakit.

Sebelum beredar, beliau mengakhiri pertemuan itu dengan bacaan doa serta diaminkan oleh pesakit dan petugas barisan hadapan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!