12 'laluan tikus' rentas daerah, negeri dikesan

Gambar kecil: Datuk Roslee Chik
Gambar kecil: Datuk Roslee Chik
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengesan 12 ' jalan tikus' di negeri ini yang berpotensi menjadi laluan alternatif untuk merentas daerah dan negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, daripada jumlah itu 10 jalan terbabit dikesan di daerah Besut dan bakinya di daerah Kemaman.

Justeru katanya, polis akan meningkatkan operasi khas secara berkala di laluan berkenaan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan PKP

"Kita akan melaksanakan 25 sekatan jalan raya (SJR) sepanjang tempoh PKP di lokasi dikenal pasti bermula 12.01 tengah malam ini sehingga tempoh PKP 2.0 ditamatkan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Khamis.

Tambahnya, sebanyak lapan SJR dilaksanakan selama 24 jam berbanding lima SJR pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini khususnya di pintu sempadan keluar masuk negeri ini.

"Tiga lokasi SJR yang ditambah di daerah Setiu iaitu di Simpang 3 Sungai Tong- Kuala Berang, Kampung Bintang dan Kampung Fikri manakala selebihnya SJR secara bergerak (mobile) dilakukan mungkin dalam tempoh antara lapan hingga 16 jam 16 jam, di semua lokasi dikenal pasti bergantung kepada keadaan semasa.

Jelasnya, seramai 326 petugas barisan hadapan membabitkan anggota polis dan tentera di tempatkan di semua SJR.

Kata Roslee, selain menumpukan SJR, pihaknya juga melakukan rondaan dan tinjauan terutamanya di kawasan tumpuan awam termasuk pasar raya dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak akan berkompromi lagi kepada individu yang dikesan melanggar SOP PKP ditetapkan dan kompaun serta merta terus dikeluarkan," katanya.