WUIF, UIAM anjur siri Wacana Al-Quran berkaitan kesihatan mental, OKU

Siri Wacana Al-Quran disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dan setakat ini telah bersiaran sebanyak 65 episod.
Siri Wacana Al-Quran disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dan setakat ini telah bersiaran sebanyak 65 episod.
A
A
A

SHAH ALAM- Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menganjurkan siri forum Wacana Al-Quran berkaitan kesihatan mental dan orang kurang upaya (OKU).

WUIF dalam kenyataan akhbarnya pada Khamis memaklumkan, siri forum gabungan bersama UIAM melalui Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti (CELPAD), Pusat Islamisasi (CENTRIS) dan Unit Kelainan Upaya dan Sahabat YADIM diadakan pada 19 Januari sehingga 4 Februari.

Kata WUIF, forum tersebut akan memfokuskan berkaitan ‘Ihsan Kepada Yang Istimewa’ dijalankan sebanyak lapan siri dan bermula pada 5.30 petang selama satu jam.

Tambah WUIF, program tersebut akan menampilkan Fazrul Ismail sebagai pengacara, qari jemputan Ustaz Abdul Khair Jalil, berserta dua orang panelis yang akan membawakan konsep perbincangan berpaksikan ayat al-Quran pilihan.

“Program ini akan dipaparkan menerusi Wacana Al-Quran, laman Facebook Sinar Harian dan IIUM Online. Siri pertama disiarkan pada 19 Januari 2021.

“Kolaboratif tersebut turut membawakan tayangan video perkongsian pesakit yang selamat (survivor) berkaitan pengalaman rawatan selain perjalanan sebagai OKU dari pelbagai sudut,” kata kenyataan tersebut.

Kata WUIF, konsep perbincangan tersebut akan membentuk resolusi serta pelan tindakan bagi isu-isu politik, ekonomi mahupun sosial.

Dalam kenyataan sama, WUIF berkata, konsep Heaven To Earth (HTE) akan dikekalkan sebagai format asal Wacana Al-Quran.

Artikel Berkaitan:

“Dengan berpegang kepada nas al-Quran dan As Sunnah, Wacana Al-Quran berusaha membawakan resolusi sebagai rujukan solusi kehidupan di setiap siri yang disiarkan.

“Dengan misi MengQurankan Bangsa MengIkhlaskan Ummah, inisiatif Wacana Al-Quran menjadi kesinambungan kepada program #QuranHour dan #QuranTime.

“Ini dihasratkan dapat membawa anjakan kerangka fikir yang membentuk sistem operasi insan berteraskan al-Quran melalui Baca, Faham dan Amal al-Quran,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, siri Wacana Al-Quran tersebut akan disampaikan oleh para panelis dalam kalangan tokoh terkemuka antaranya Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (Rektor UIAM) dan Dr Luqman Haji Abdullah (Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

Turut serta ialah Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Mufti Perlis), Dr Maszlee Malik (aktivis sosial, mantan Menteri Pendidikan Malaysia) dan Senator Ras Adiba Radzi (Wakil OKU di Dewan Negara).

“Wacana Al-Quran ini juga dibawakan kepada ummah melalui sumbangan yang disampaikan oleh orang ramai melalui Tabung Gerakan Al-Quran.

"Siri Wacana Al-Quran disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dan setakat ini telah bersiaran sebanyak 65 episod,” katanya.

Menurut WUIF, bagi tahun ini, surah Al-Mulk akan menjadi surah pilihan dalam #WorldQuranHour yang akan diadakan pada 24 Ramadan 1442H bersamaan 6 Mei ini.

Tambah kenyataan tersebut, surah Al-Mulk turut dijadikan surah teras dalam beberapa siri Wacana Al-Quran dan akan merungkai persoalan yang boleh dijadikan panduan serta solusi kehidupan.

“Kerjasama WUIF bersama UIAM kali ini membawakan empat siri perbincangan isu berkaitan isu-isu kesihatan mental dan empat siri lagi adalah perbincangan isu-isu tentang OKU,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pengurus Perhubungan Strategik dan Perhubungan Awam WUIF, NurHayati Nordin di talian 019-3823635 atau emel nurhayati.quranhour@gmail.com