PKP: Ketengah tawar moratorium

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bersetuju untuk menawarkan moratorium selama enam bulan bagi meringankan beban peminjam dan penyewa di bawah agensi itu akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, moratorium itu akan memberi manfaat kepada 1,243 peniaga, usahawan dan penyewa melibatkan jumlah peruntukan kewangan sebanyak RM1.1 juta.

Menurutnya, ia melibatkan tawaran pengecualian penyewaan premis perniagaan dan rumah kediaman kepada 1,042 peniaga, usahawan dan penyewa rumah dengan implikasi kewangan lebih RM758,000.

“Ketengah juga memberi penangguhan bayaran sewa beli rumah kediaman Ketengah membabitkan 201 pembeli. Bagi tujuan ini, ia melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM344,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Razali turut mengalu-alukan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) sebagaimana diumumkan kerajaan pada Isnin lalu dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pemberian bantuan kewangan sebanyak RM500 secara one-off kepada 14,000 pemandu pelancong juga bertepatan bagi meringankan bebanan kewangan mereka.

“Sebahagian daripada pemandu pelancong ini juga ada menyediakan perkhidmatan pelancongan ke kawasan pelancongan Tasik Kenyir.

“Malah, pelaksanaan skim mikrokredit kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan perniagaan terutama yang berkaitan pelancongan memberi kelegaan kepada kelompok terlibat sebagai menyokong kelangsungan bisnes,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Razali juga berharap supaya matlamat sasaran 1 juta pelancong dapat dicapai sempena Tahun Melawat Kenyir 2021.

“Kita sedar impak besar kepada ekonomi pelancongan dan pendapatan rakyat, bantuan Permai ini satu inisiatif kerajaan bagi membantu sektor pelancongan termasuk di bawah Ketengah untuk terus berdaya saing.

“Bagi kawasan Tasik Kenyir, Ketengah akan terus memantau dan membantu pengusaha pelancongan termasuk sumbangan kepada pengusaha rumah bot, pemilik bot laju dan pengusaha kedai di sana,” katanya.