X

Kindly register in order to view this article
!

PH kemuka tiga nama anggotai Jawatankuasa Khas Bebas darurat

Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pakatan Harapan (PH) mengemukakan tiga nama kepada kerajaan pada Rabu untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas bagi mengendali perintah darurat yang sedang dilaksanakan di negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga nama itu akan dihantar Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

"(Penubuhan) jawatankuasa itu kita sambut dan kita putuskan akan hantar wakil. Ia adalah jawatankuasa bebas bukan terdiri daripada kuasa eksekutif.

"Maknanya pandangan itu lebih menjurus kepada pengisytiharan darurat, bila ia patut dihentikan dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar dalam talian bersama beliau sebentar tadi.

Bagaimanapun, Anwar berkata, Jawatankuasa Khas Bebas itu yang terdiri daripada empat ahli Parlimen kerajaan dan tiga ahli Parlimen pembangkang tidak sama seperti sidang Parlimen kerana nasihat yang diberikan khusus kepada perkara tertentu sahaja.

"Tapi oleh kerana ia merupakan salah satu usul dalam titah Yang di-Pertuan Agong (ketika mengisytiharkan darurat), kita mengambil keputusan untuk memberikan kerjasama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Dewan Negara perlu dilibatkan dalam Jawatankuasa Khas Bebas

Pembangkang tidak perlu sertai Jawatankuasa Khas Bebas: Mahfuz

Ditanya mengenai dakwaan Takiyuddin sebelum ini bahawa pembangkang masih belum mengemukakan nama yang diminta, Anwar berkata, pihaknya mengambil masa kerana perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai jawatankuasa itu terlebih dahulu.

Menurut beliau, Saifuddin Nasution sebelum ini telah menghubungi Takiyuddin untuk mendapatkan maklumat berkenaan.

Tambah Anwar, pihaknya perlu mengetahui terlebih dahulu tentang jawatankuasa itu dari segi pengerusinya, barisan ahli jawatankuasa dan bidang tugasnya.

Pada 12 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan bagi menjamin pelaksanaan darurat adalah secara adil dan telus.

Katanya, jawatankuasa itu juga berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat dan akan dianggotai ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!