X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli Dewan Negara perlu dilibatkan dalam Jawatankuasa Khas Bebas

Datuk Razali Idris
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Dewan Negara dicadang agar dilibatkan dalam Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan oleh kerajaan berhubung pelaksanaan darurat.

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, kumpulan itu perlu dilibatkan selaku badan tertinggi institusi Parlimen dan negara berdasarkan kepakaran dan pengalaman sedia ada.

“Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga prihatin dengan aktiviti ekonomi perlu terus berfungsi sepanjang tempoh darurat tertakluk pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kebenaran melaksanakan aktiviti ekonomi sangat penting dalam usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi negara termasuk pihak terjejas teruk dari segi perniagaan dan pekerjaan. Jangan abaikan rakyat dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat dan kesihatan awam kembali pada paras normal yang baharu,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa memperkenankan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi membentuk satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkait.

Mengulas lanjut, Razali berkata, soal Proklamasi Darurat tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak tertentu sehingga ada usaha mencelarukan negara dan kebijaksanaan keputusan Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati dan diterima oleh semua pihak dengan baik.

“Pengisytiharan Proklamasi Darurat sebagai satu langkah yang berani, ada ketegasannya dan menepati pada kewajaran suasana yang difikirkan baik kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!