Tidak perlu lagi swab, kuarantin masuk Kelantan

DR IZANI
DR IZANI
A
A
A

KOTA BHARU – Individu yang mahu memasuki negeri ini tidak lagi perlu menjalani ujian swab mahupun kuarantin 10 hari sebagaimana yang telah dimaklumkan kerajaan negeri sebelum ini.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, penarikan balik arahan tersebut melibatkan beberapa faktor.

Mesyuarat Khas Covid-19 yang diadakan di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu pada Selasa.
Mesyuarat Khas Covid-19 yang diadakan di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu pada Selasa.

Menurutnya, antara faktor utama ialah kekangan kewangan yang perlu dihadapi rakyat untuk membuat ujian swab terutamanya jika ia dilakukan di hospital swasta.

“Kita tarik balik arahan berkenaan kerana berlaku kesukaran. Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) di mana-mana lokasi tidak cukup kakitangan untuk buat ujian swab, manakala hospital serta klinik kerajaan pula tidak akan lakukan ujian swab pada mereka yang tidak bergejala.

“Cuma yang penting ialah masing-masing kena utamakan penjagaan kebersihan diri dan patuh serta berdisiplin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu kita buat sama ada di rumah mahupun di lapangan,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat khas Covid-19 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.

Menurutnya, beberapa buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang diwujudkan di negeri ini hampir penuh dan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menambah PKRC di lokasi-lokasi yang sesuai di beberapa daerah di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, keputusan lanjut akan dimaklumkan kemudian memandangkan ia perlu dilaksanakan selari dengan jumlah petugas kesihatan yang ada.

“Jika PKRC yang kita tubuh ini penuh juga, kita tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan pengawasan dan pemerhatian di rumah. Namun ia tertakluk kepada beberapa syarat terutamanya mengikut kesesuaian pesakit, kediaman dan juga kontak rapat yang berada di dalam rumah bersama pesakit.

“Apa yang penting sekarang ini ialah kita kuarantinkan diri kita sendiri supaya tidak terdedah dengan risiko ini. Kepada mereka yang mempunyai masalah selesema, demam atau batuk tidak perlulah keluar bekerja serta berjumpa dengan individu lain bagi mengelak daripada penularan kes berlaku.

“Mungkin ada individu yang mempunyai antibodi yang kuat dan boleh melawan Covid-19, namun kita juga boleh jadi pembawa kepada orang lain. Maka kerjasama masyarakat ini amat penting,” katanya.

Dr Izani memberitahu, antara lokasi tumpuan awam yang dilihat lemah dalam pematuhan SOP ialah pasar raya dan juga pasar basah.