Kilang pakaian langgar SOP, beri alasan jahit baju PPE

Mispani memegang seterika di tempat jahit pakaian harian yang masih panas dan dihidupkan ketika membuat operasi di sebuah kilang di Jasin pada Selasa.
Mispani memegang seterika di tempat jahit pakaian harian yang masih panas dan dihidupkan ketika membuat operasi di sebuah kilang di Jasin pada Selasa.
A
A
A

JASIN - Sebuah kilang di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sini memberi alasan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 kerana untuk menyiapkan pakaian perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan.

Bagaimanapun, alasan itu tidak berhasil apabila polis mendapati ia hanyalah helah selepas mendapati terdapat seterika di ruang pembuatan baju harian yang masih panas.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan, dalam operasi bersepadu pada Selasa itu, kilang yang menjahit beberapa pakaian berjenama tempatan dikenakan kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) selain diarahkan tutup serta-merta pada jam 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, anggota polis pernah datang ke kilang berkenaan sebelum ini dan pihak kilang memberikan alasan beroperasi untuk menyediakan PPE dan bukan menjahit pakaian lain.

"Namun kehadiran pihak polis sekali lagi ke kilang ini mendapati mereka benar-benar telah melanggari arahan. Mereka cuba menipu kerana untuk menghasilkan PPE, tidak memerlukan ia digosok.

"Mereka cuba mengaburi mata kita dengan menunjukkan PPE yang sedang disiapkan namun pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pakaian harian yang dijahit selain seterika digunakan bagi pembuatan pakaian harian masih lagi panas," katanya pada sidang akhbar selepas operasi berkenaan pada Selasa.

Seorang pekerja kilang di kilang pakaian di IKS Jasin memakai singlet ketika bekerja pada Selasa.
Seorang pekerja kilang di kilang pakaian di IKS Jasin memakai singlet ketika bekerja pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohd Nasrul Menhat.

Sementara itu, beliau berkata, sebuah kilang pakaian di kawasan sama turut dikenakan kompaun kerana masih degil beroperasi termasuk menjahit pakaian seragam sekolah biarpun polis pernah memberikan arahan penutupan operasi sebelum ini.

"Dua hari lalu, kita telah memberikan amaran kepada kilang-kilang ini agar tidak menjalankan operasi, namun mereka masih berdegil dan kita tidak akan berkompromi terhadap kesalahan yang melanggar SOP.

"Kita juga telah mengeluarkan kompaun kepada sebuah pasar raya di bandar Jasin selepas mendapati masih menjual pakaian termasuk baju sekolah di tingkat dua premis berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di kilang yang mempunyai kira-kira 200 pekerja itu termasuk menggajikan warga asing bukan sahaja melanggar arahan, malah tidak mementingkan aspek pekerja.

Antaranya dengan membenarkan pekerja memakai selipar di dalam kilang selain terdapat pekerja asing yang hanya memakai kain batik, kain pelekat dan baju tanpa lengan atau singlet sedang leka menjahit baju sekolah.